Ticker

6/recent/ticker-posts

Harga ayam dijangka akan naik mendadak sehingga RM10 sekilo, ini penjelasan dari peniaga ayam

 


Harga ayam di daerah ini terus mening­kat secara mendadak sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna pada hari pertama Ramadan semalam.


Tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Kedai Payang di sini mendapati, rata-ratanya peniaga menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram.


Seorang peniaga, Mohd. Zukri Arifin, 38, memberitahu, harga ayam jualannya telah naik sebanyak lima kali dalam tempoh dua ming­gu.


“Sebelum ini, ayam hanya berharga RM7 sekilogram sebelum naik sedikit demi sedikit sehingga RM9 sekilogram mulai Jumaat lalu.


“Saya dimaklumkan oleh pembekal, harga ayam akan naik lagi kepada RM9.50 mulai esok (hari ini) sebelum dijangka melonjak kepada RM10 sekilogram tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang.


Peniaga, Mohd. Robby Awang, 39, pula berkata, dia terpaksa menjual ayam pada harga yang tinggi kerana kadar ditetapkan pembekal sudah sedia mahal.


“Saya dimaklumkan kenaikan ini disebabkan kos makanan ayam yang semakin meningkat di samping permintaan tinggi pengguna sempena menyambut Ramadan,” katanya.


Di George Town, kebanyakan peniaga ayam di pasar awam ne­geri ini juga mula resah dengan kenaikan harga 30 sen bagi sekilo­gram ayam mulai hari ini.



Ketika ini, sekilogram ayam dijual pada harga RM9.50 hingga RM9.80 di pasar-pasar awam berbanding RM9 sebelum ini.


Mohd. ZUKRI (kiri) melayan pelanggan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam. Peniaga itu menjual ayam pada harga RM9 sekilogram.

Seorang peniaga ayam di Pasar Awam Desa Mayang, Bayan Baru, Lin Sulaiman, 42, memberitahu, kenaikan harga ayam daripada peringkat penternak berlaku selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.


Dedak Mahal

“Kenaikan dikatakan berlaku disebabkan harga dedak yang mahal. Kami cuba mempertahankan harga asal dalam tempoh dua minggu, namun pihak pemborong masih menaikkan harga ayam.


“Keadaan itu memaksa kami turut menaikkan harga ayam pada harga RM9.50 sekilogram. Kami tiada pilihan lain,” ujarnya.


Di Shah Alam, tinjauan di Pasar Moden Seksyen 6 mendapati, kenaikan harga ayam kepada RM8.50 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini berlaku sejak 6 April lalu.


Seorang penjual ayam yang hanya mahu dikenali Azam, 52, memaklumkan berlaku tiga kali kenaikan harga daripada pembekal kepada peruncit bermula 1 April dengan harga RM7 sekilogram kepada RM7.60 sehingga semalam.


Dakwanya, kenaikan harga tersebut disebabkan kekurangan bekalan ayam daripada penternak berbanding permintaan.


Sementara itu, kenaikan mendadak harga dedak ayam sejak akhir tahun lalu menjadi antara punca harga ayam melonjak.


Seorang pembekal ayam, Amirrul Aqmal Razarudin, 29, berkata, seguni dedak ayam seberat 50 kilogram (kg) kini berharga sekurang-kurangnya RM116 berbanding RM98 pada tahun lalu.


“Kenaikan harga makanan ayam dikesan melonjak sejak kerajaan mula membenarkan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat mulai Julai tahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi pada penghujung tahun 2020.



“Ia menyebabkan kos membeli makanan ayam meningkat kepada RM9,000 bagi setiap dua bulan berbanding RM6,000 sebelum ini,” katanya kepada Kosmo!.


Amirrul Aqmal berkata, penternak dan pembekal ayam da­ging serta ayam kampung se­pertinya sudah tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat disebabkan kenaikan harga makanan ternakan.


Sehubungan itu, dia yang me­ngusahakan ladang ayam di Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, mereka tiada pilihan selain menaikkan harga ayam untuk mengelak daripada mengalami kerugian teruk.


“Saya tidak pasti punca kenaikan harga makanan ayam sepanjang tempoh PKP ini. Mungkin akses untuk pengimportan produk itu terhad.


“Apa pun sekiranya kerajaan campur tangan dalam menstabilkan harga dedak, saya pasti harga ayam di pasaran akan lebih murah,” ujarnya.


Tambahnya, permintaan tinggi pada Ramadan ini mungkin juga mendorong kenaikan harga ayam.



sumber: kosmo

Post a Comment

0 Comments