Ticker

6/recent/ticker-posts

Pelancong kecewa hasrat beli coklat import tidak kesampaian

 


Para pelancong yang datang ke pulau peranginan ini terpaksa pulang dengan hampa kerana bekalan coklat import yang dijual di premis-premis perniagaan di sini kehabisan stok sejak November tahun lalu.


Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai bebas cukai yang menjual coklat mendapati kebanyakan rak yang biasanya dipenuhi coklat import kosong dan diletakkan dengan coklat keluaran tempatan.


Antara coklat import yang mendapat sambutan dalam kalangan pelancong adalah Daim, Hershey Kisses dan Cadbury.



Seorang pelancong, Saludin Endol, 60, dari Kuala Lipis, Pahang berkata, percutiannya di pulau ini menjadi kurang sempurna apabila mendapati coklat import yang dipesan keluarganya kehabisan bekalan di beberapa buah kedai yang dikunjunginya.


“Langkawi sinonim dengan coklat import yang murah, tapi beberapa kedai yang saya pergi, kebanyakannya tiada stok coklat yang dipesan oleh keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Kuah di sini semalam.


Sementara itu, Muhammad Fahmi Mazelan, 26, dari Kangar, Perlis, pula berkata, dia datang ke pulau ini untuk urusan kerja dan singgah di beberapa premis bagi membeli coklat yang dikirim oleh rakan sekerjanya.


“Bagaimanapun, kebanyakan coklat yang dipesan mereka tiada bekalan, jadi mungkin saya pulang dengan tangan kosong.



“Saya baru datang ke Langkawi pada bulan lepas dan ketika itu pun coklat import tidak banyak yang dijual,” ujarnya.


Menurut seorang pekerja di kedai bebas cukai yang mahu dikenali sebagai Lim, 45, berkata, bekalan coklat tidak mencukupi di Langkawi kerana terdapat masalah bekalan coklat import daripada pihak pembekal di Singapura.


“Bekalan coklat import yang diterima daripada pembekal terbabit terhad dan walaupun jumlah tempahan sebelum ini tinggi. Keadaan tersebut menyebabkan berlaku kekurangan bekalan coklat import di pulau ini,” katanya.


Sumber : Utusan

Post a Comment

0 Comments