Ticker

6/recent/ticker-posts

Rakyat disaran boikot beli ayam, kata YPNM

 


Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SH­MKM) yang akan berakhir pada 4 Februari ini perlu diteruskan atau pengguna mempunyai pilihan kedua memboikot membeli ayam sehingga harga kemba­li stabil.


Penamatan SHMKM akan memberi lebih banyak tekanan kepada pengguna bukan sahaja di kawasan bandar, malah penduduk luar bandar juga akan terkesan kerana ketika ini makanan sumber protein yang murah adalah ayam dan telur.


Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, rakyat ketika ini sedang menghadapi pelbagai tekanan hidup terutama isu kewangan dan kenaikan harga barang ekoran penularan waabak C0vid-19 selain musibah banjir.


Oleh itu katanya, kerajaan per­lu meneruskan SHMKM dan merangka perancangan jangka masa panjang yang lebih mantap supaya pengguna boleh meneruskan hidupan harian mereka tanpa menanggung beban akibat kenaikan harga barang makanan.


“Jika SHMKM tidak disambung, YPNM menyarankan pengguna memboikot membeli ayam sementara harga stabil.


“Kita juga cadangkan juga syarikat milik kerajaan (GLC) mengimport dedak makanan ayam seperti jagung dan soya bagi mengatasi manipulasi oleh pengimport masa ini,” katanya di sini semalam.



Kelmarin, Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Eh­wal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan sebagai berkata, rakyat diminta bersedia dan perlu memahami dengan kenaikan semula harga ayam melebihi RM9.10 sekilogram selepas SHMKM berakhir pada 4 Februari ini.


Mengulas lanjut, Firdaus berkata, musim tengkujuh turut mempengaruhi penurunan tangkapan hasil laut menyebabkan harga menjadi mahal.


Di ALOR SETAR, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyifatkan cadangan menaikkan harga ayam tidak wajar kerana mencetus panik dalam kalangan rakyat.


Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kementerian berkenaan seharusnya lebih sensitif ketika kos sara hidup rakyat meningkat.


“Ayam memang ada permintaan tinggi dalam kalangan pengguna dan peniaga kecil. Menteri tak bolehlah cakap, bulan depan harga ayam naik. Walaupun skim harga kawalan akan tamat tapi tak boleh cakap macam itu.


“Patut kena cari jalan macam mana nak turunkan harga barang sekarang rakyat tengah marah. Jangan bagi rakyat panik. Kos sara hidup rakyat semakin meningkat,” katanya.


Beliau menegaskan, kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh tentang kenaikan harga ayam yang dikaitkan dengan manipulasi orang tengah.


“Di segmen penternakan, Cake percaya kenaikan adalah tidak tinggi ikut pengalaman kita. Selalunya orang tengah yang bermain dengan harga ayam ini. Ayam akan melalui lima hingga tujuh tangga sebelum sampai kepada pengguna.


“Jadi penglibatan orang te­ngah memang mengakibatkan kenaikan harga ayam. Kerajaan kena tengok menyeluruh. Harga di peringkat pemborong adakah ia munasabah,” katanya.



Di SEREMBAN, Persatuan Pengguna Negeri Sembilan meminta KPDNHEP tidak mengeluarkan kenyataan menganggu fikiran pengguna berkaitan kenaikan semula harga ayam,sebaliknya mencari jalan penyelesaian bagi menstabilkan harga tersebut.


Pengerusinya, Khairuddin Yunus berkata, KPDNHEP perlu memberi keyakinan kepada pengguna agar dapat menurunkan harga tersebut.


“Saya minta supaya pihak kementerian mengkaji semula berkaitan kenaikan harga ayam berkenaan dan jangan keluar kenyataan menganggu fikiran orang ramai (pengguna).


“Sebagai pihak yang bertanggungjawab mereka perlu mententeramkan rakyat dan sekurang-kurangnya mesti berusaha menstabilkan harga.


“Sekiranya berlaku kenaikan akibat banjir besar baru-baru ini, pihak berkaitan perlu ada sistem dan melakukan pemeriksaan secara berkala dua atau tiga bulan sekali atau memantau ladang ayam mengapa ada kenaikan harga,” katanya ketika dihubungi.


Dalam pada itu, Khairuddin menjelaskan, pihaknya berharap pihak kementerian lebih prihatin dengan nasib peniaga terutama gerai makanan yang mula bernafas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.


Sumber : Utusan Online

Post a Comment

0 Comments