Header Ads

Breaking

Sunday, February 27, 2022

Malaysia perlu guna Bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa, kata Ismail Sabri

 


Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.


Ismail Sabri berkata beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.


“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.



“Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan… kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.


“Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok, hari ini pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Thailand.


Ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad serta sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha semalam, Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu.



Beliau berkata penduduk di ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.


“Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” katanya.


Ismail Sabri berkata di ASEAN, enam negara menggunakan bahasa sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemah manakala empat lagi menggunakan Bahasa Inggeris.


“Jika negara itu menggunakan bahasa mereka, kita akan menggunakan Bahasa Melayu. Sekiranya negara itu menggunakan Bahasa Inggeris, kita menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa kita sendiri (Bahasa Melayu),” katanya.


- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.