Ticker

6/recent/ticker-posts

Berkat kasih isteri, rezeki Yonnyboii datang bertimbun-timbun

 


Perkahwinan akan mengubah hidup setiap yang melaluinya.


Perasaan dan pengalaman itu turut dirasakan penyanyi rap, Yonnyboii yang kini bergelar suami kepada Nik Nazira Narriman.


Selepas diijabkabulkan pada 20 November tahun lalu, Yonnyboi kini menjalani kehidupan sebagai suami dan mengakui kehidupannya lebih teratur berkat bantuan isteri.


"Selepas berumah tangga, rezeki datang bertimbun-timbun. Dari sudut kerjaya, pendapatan juga semakin bertambah.


"Dari sudut kehidupan, saya rasa gembira kerana ada orang yang bantu terutama dari segi pengurusan jadual dan sebagainya sebab saya memang jenis pelupa," katanya.


Pada masa sama, Yonnyboii turut berkongsi mengenai isterinya yang kerap kali menjadi penenangnya setiap kali berdepan serangan 'anxiety'.


"Sebelum ini, berlaku kesukaran apabila saya berdepan serangan 'anxiety'. Sekarang, apabila sudah ada isteri, dia menjadi orang yang sentiasa mengingat dan menenangkan saya.



"Nasihatnya adalah supaya saya bernafas dengan tenang, pandang muka dia dan dia akan beritahu saya bahawa semuanya okay.


"Dia selalu berpesan kepada saya supaya tidak terlalu banyak berfikir. Pujukannya memang berkesan untuk menenangkan saya," katanya.


Saat berbicara dengan penyanyi rap itu, ternyata cara menjawab soalan dan pertuturannya juga kini nampak lebih matang.


"Secara keseluruhan, saya boleh katakan bahawa saya semakin matang dan boleh mengawal keadaan," katanya.


Diminta mengulas mengenai dirinya yang dilabel sebagai obses dengan isterinya, Yonnyboii menganggap itu bukan satu kesalahan.


"Saya rasa okay saja dan tak jadi masalah pun sebab itu isteri saya sendiri," katanya.


Masuk tahun ketiga berada dalam industri muzik tanah air banyak mengajar Yonnyboii untuk berkembang dan menjadi anak seni yang lebih bersedia.


"Sepanjang perjalanan saya meniti dalam industri seni ini, ada pelbagai fasa yang saya lalui dan saya akui, saya sendiri dah lali.


"Yang baik saya ambil sebagai pembakar semangat. Manakala, kalau ada komen berbaur kecaman negatif, saya buang jauh-jauh," katanya.


Menjadi antara penyanyi muda yang kerap tampil dengan imej berani terutama dengan gaya rambut pelbagai warna, Yonnyboii menganggap ia bergantung kepada kesesuaian.



"Itu sudah menjadi satu 'trademark' untuk saya. Tapi, ikut kesesuaian juga, apa kandungan sama ada digital atau produk yang saya nak buat.


"Saya juga mengikut kesesuaian untuk acara persembahan tertentu. Kadang-kadang saya buat sendiri saja untuk tukar warna rambut," katanya.


Terbaharu, lagunya berjudul Tak Sangka yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu masih mendapat tempat di hati peminat.


"Alhamdulillah, sehingga kini, ramai peminat yang berikan respons positif dengan kehadiran lagu ini.


"Bahkan, ramai juga yang gunakan lagu ini sebagai lagu latar di TikTok dan sedikit sebanyak, itu membantu untuk menaikkan lagu ini," katanya.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments