Ticker

6/recent/ticker-posts

Kerajaan seharusnya perketat SOP bukan sekat pelancong China, kata MITA

 


Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) berkata lebih baik memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat ke atas pelancong dari China, bukannya mengenakan larangan ke atas mereka memasuki negara ini.


Presiden Mita, Uzaidi Udanis, berkata China adalah pasaran pelancongan penting dan sebarang penggantungan kemasukan akan memberi kesan kepada industri.


Beliau menjawab gesaan PAS dan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) yang mahu menangguhkan kemasukan pelancong dari China berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.


Uzaidi menegaskan, Thailand menjangkakan “berjuta-juta pelancong pada suku pertama tahun ini” manakala Singapura memulakan semula penerbangan terus ke China.


Beliau berkata, Malaysia menerima lebih 100,000 pelancong dari China antara April 2022, apabila sempadan dibuka.


“Mereka terdiri daripada ahli perniagaan dan pelajar sehingga pelancong. China adalah pasaran penting bagi kami kerana kuasa beli mereka tinggi,” katanya.


Uzaidi berkata, cara terbaik untuk mengekang penularan Covid-19 adalah dengan memperketatkan SOP.


Beliau berkata, penting untuk memastikan semua orang memahami keperluan itu.


“Dulu ramai yang tidak jelas mengenai SOP. Sebagai contoh, apabila pelancong tiba di lapangan terbang, mereka keliru. Jadi, petugas barisan hadapan kita perlu jelas mengenai SOP,” katanya.


Kementerian Kesihatan mengumumkan semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu.


Varian Covid-19 terbaharu – sub-varian Omicron dikenali BF.7 – dipercayai menjadi punca lonjakan kes di China.


Jangan bertindak keterlaluan, kata Matta


Sementara itu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata, pihak tertentu harus “berhenti bertindak keterlaluan” mengenai laporan bahawa China sekali lagi akan membenarkan rakyatnya menyambung semula perjalanan keluar.


“Sejak pembukaan semula sempadan kita pada awal 2022, negara mencapai kemajuan yang stabil dan positif ke arah pemulihan, dan sebarang tindakan mengejut untuk memperkenalkan semula sekatan tanpa perancangan yang betul, berisiko membatalkan semua yang telah kita capai,” kata Presiden Matta Tan Kok Liang.


“Matta memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam menguruskan ketibaan warga China, seperti yang mereka lakukan dengan pelancong lain dari seluruh dunia.”


Beliau berkata, sebarang keputusan dibuat kerajaan perlu mengimbangi kesan ekonomi dengan kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta reputasi Malaysia sebagai destinasi selamat.


Tan berkata, data Tourism Malaysia menunjukkan 3.1 juta pelancong China melawat Malaysia pada 2019, menjadikannya pasaran sumber ketiga terbesar negara untuk ketibaan antarabangsa.


Beliau berkata, jangkaan awal menunjukkan 1.2 juta warga China melancong ke Malaysia pada 2023, dan menjana kira-kira RM 3.6 bilion dalam sektor pelancongan.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments