Ticker

6/recent/ticker-posts

Peniaga Burger bermalam dengan calon isteri sebab nak bincang hal kahwin sebelum bertemu keluarga

 


Seorang peniaga burger dicekup bermalam bersama ‘calon isterinya’ dalam serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), di sebuah hotel di Rembia, di sini lewat pagi tadi.


Pasangan itu yang masing-masing berusia 24 dan 21 tahun dicekup pada pukul 3.20 pagi selepas gagal mengemukakan dokumen pengesahan perkahwinan.


Ketika disoal-siasat, lelaki berkenaan bagaimanapun memberikan alasan ingin berehat di hotel tersebut sebelum membawa calon isterinya itu berjumpa ahli keluarga dekat sini bagi membincangkan hal perkahwinan.


Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan itu antara 12 individu berusia antara 21 hingga 56 tahun yang dicekup berkhalwat dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2023.


Menurutnya, kesemua yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Sesyen 53(1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.



“Dalam serbuan ini, antara dicekup adalah pasangan muda iaitu seorang peniaga burger bersama pembantunya yang mendakwa kononnya mereka dalam proses mendapatkan restu keluarga untuk mendirikan rumah tangga.



“Kita juga menahan sepasang kekasih berusia 56 dan 40 tahun yang merupakan suami dan isteri orang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.


Mengulas lanjut beliau berkata, pasangan curang itu juga mengakui masing-masing telah mempunyai lima serta tiga orang anak.


Katanya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Post a Comment

0 Comments