Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya menangis bukan sebab ‘sentap’ tapi kecewa dengan diri sendiri, kata Sissy Iman

 



Penyanyi Sissy Imann tidak pernah merasa dendam atau marah terhadap Mas Idayu setelah menerima komen pedas dari juri tetap program Famili Duo minggu lalu.


Sebaliknya, kata Sissy, 28, dia sangat menghormati Mas Idayu sebagai individu yang lebih berpengalaman dalam industri seni dan hubungan mereka sebelumnya tidak memiliki masalah.


"Kalau ikutkan keadaan sebelum ini, sebagai rakan industri, hubungan kami memang baik. Saya pernah mengacarakan sebuah program realiti nyanyian di Sarawak dan kerap bertemu dengan Mummy di lapangan terbang. Kami selalu berborak kalau berjumpa.


"Saya mengenali Mas Idayu sebagai seorang berhati mulia, dia memang orang yang baik. Mungkin karakternya sedikit berbeza mengikut keadaan.



"Saya menghormati Mas Idayu lebih-lebih lagi dengan pengalaman dan ilmu yang dia miliki. Bukan calang-calang orangnya, saya pun tak boleh menyanyi dandgut sebaik dia," katanya kepada mStar.


Sissy menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas persembahan program Famili Duo minggu ketujuh yang diadakan di Studio 2, Sri Pentas Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada malam Ahad.


Dalam pada itu, Sissy berkata, selama seminggu mendiamkan diri, dia tidak menghubungi mana-mana pihak terutamanya Mas Idayu bagi menjernihkan hubungan di antara mereka.


Jelas Sissy, tidak timbul isu sama ada hubungan mereka baik atau tidak kerana memang tiada masalah di antara mereka.


"Saya gunakan masa selama seminggu ini untuk proses apa yang berlaku pada masa itu. Saya kecewa lebih kepada diri sendiri tapi tidak terfikir untuk tarik diri.


"Saya juga tak menghubungi sesiapa melainkan Naim sejak minggu lalu. Saya juga tidak mahu memikirkan apa yang berlaku bagi menjaga kesihatan mental saya," jelasnya.


Sementara itu, Naim pula memberitahu mereka tidak merayu kepada Mas Idayu untuk memberi komen pada persembahan pada malam Ahad kerana enggan mengganggu tugas juri selain terbuka dengan sebarang komen.


Kata Naim, sebagai peserta dan penyanyi mereka sudah melunaskan tugas diberikan selain ingin menghiburkan penonton.


"Kami ada di sini terbuka, jadi kami harap semua orang pun sama. Kami pun tidak mahu ganggu tugas juri. Kami di atas pentas hanya penghibur, itu kami ambil kapasiti sebagai penyanyi dan terbuka dengan komen juri," jelasnya.


Terdahulu, persembahan Sissy dan Naim yang menyampaikan lagu Jampi versi keroncong mendapat kritikan pedas Mas Idayu yang dianggap keterlaluan sehingga dia dikecam netizen.


Teguran itu turut membuatkan Sissy tidak dapat menahan air mata dan meninggalkan program tersebut selepas membuat persembahan.


Sissy turut meluahkan rasa kecewa dan enggan meneruskan penjualan albumnya berjudul Sissy Imann yang sepatutnya dilancarkan pada 2 Februari ini.


Sumber : mStar Online

Post a Comment

0 Comments