Seremban: Sudah empat tahun berlalu sejak Jahidah Nordin, 47, menjadi mangsa keganasan rumah tangga namun derita yang ditanggungnya masih belum berpenghujung.
.
Akibat dibelasah suami sendiri hingga koma, Jahidah kini hanya mampu terbujur kaku di atas katil tanpa mampu bersuara, bergerak, apatah lagi menjalani kehidupan seperti insan lain.
.
Sejak tragedi hitam itu, tubuh wanita cekal ini bagaikan hilang haknya untuk hidup normal.
.
Hari-hari yang berlalu hanya menyaksikan matanya yang sesekali berkelip seakan memberi isyarat bahawa dia masih di sini, namun terperangkap dalam jasad yang tidak berdaya.
.
Bagi adiknya, Fauziah Nordin, 44, yang kini menjadi penjaga utama Jahidah, setiap detik bersama kakaknya adalah satu pengorbanan besar yang penuh emosi dan kecekalan.
.
"Doktor maklumkan, kerosakan otaknya sangat teruk. Kini sudah masuk tahun keempat dia koma… kami hanya mampu berserah," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di kediamannya, di sini.
.
Fauziah tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi. Baginya, menerima takdir ini dengan hati terbuka adalah cara terbaik untuk terus bertahan.
.
"Bukan kami tidak berdoa atau tidak mahu berharap. Tapi kalau terlalu meletakkan harapan, kami akan lebih terluka. Hanya keajaiban yang mampu mengubahnya." katanya.
.
Setiap hari, Fauziah menjaga kakaknya sepenuh masa bermula dari memandikan, menyuap makanan, menukar lampin hinggalah menjaga anak Jahidah, Eshan Nufail yang kini sudah berusia tiga tahun.
.
"Awalnya memang sukar… untuk bersihkan Kak Jahidah saya perlu angkat badannya, sedangkan kudrat saya sebagai wanita terbatas. Tapi lama-kelamaan saya belajar. Sekarang saya dah biasa, dan anggap ini semua sebagai saham akhirat," katanya perlahan.
.
Namun bukan mudah menelan rasa. Sesekali, Fauziah akui ada rasa terbeban, letih, sedih, dan sunyi. Namun setiap kali melihat wajah kakaknya yang tidak bersalah, dia kembali kuat.
.
Dalam pada itu, Eshan Nufail, anak tunggal Jahidah yang kini berusia empat tahun, turut berdepan cabaran sendiri.
.
Disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dari segi perkembangan, kanak-kanak ini masih belum mampu bertutur dengan jelas.
.
"Dia sihat, aktif dan sudah boleh berjalan tegap, cuma belum bercakap seperti kanak-kanak lain seusianya. Doktor kata tiada masalah besar, cuma perkembangan lambat. Sekarang dia suka keluar berjalan-jalan, mungkin bosan terperap dalam rumah," kata Fauziah, sambil membelai kepala si kecil yang bermain di sisi ibunya yang kaku.
.
Kredit: Harian Metro
0 Comments