Ticker

6/recent/ticker-posts

Meninggal Dunia Ketika Mencari Nafkah, Rider Ditemui Tidak Bernyawa Atas Motosikal

 



Oleh Mynewshub 

Kredit Video: batamnews


BATAM – Seorang pemandu ojek dalam talian (di Malaysia sering disebut rider) ditemukan meninggal dunia ketika sedang berusaha mencari rezeki untuk keluarganya dalam satu kejadian menyentuh hati di Batam, Indonesia, lewat malam Ahad.


Mangsa yang dikenali sebagai Asep ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tertunduk di atas motosikalnya di hadapan sebuah deretan rumah kedai di kawasan Palm Spring, Batam Kota, sekitar jam 11.30 malam pada Ahad (15 Februari 2026).


Ketika ditemui orang awam, mangsa masih mengenakan jaket rasmi Gojek dan berada di atas sebuah motosikal Honda Beat Street yang diparkir di lokasi kejadian, menimbulkan rasa pilu dalam kalangan saksi yang menyedari keadaan tersebut.


Pihak berkuasa kemudiannya tiba di lokasi dan menjalankan proses evakuasi sebelum membawa jenazah ke Rumah Sakit Bhayangkara Polda Kepri untuk pemeriksaan lanjut.


Menurut maklumat awal, tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian. 


Punca kematian mangsa disyaki akibat keletihan melampau atau masalah kesihatan, namun pengesahan rasmi masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.


Insiden ini sekali lagi membuka mata masyarakat mengenai realiti getir yang dihadapi pekerja gig, khususnya pemandu ojol, yang sanggup berjuang siang dan malam demi menyara keluarga, sering kali mengorbankan kesihatan dan keselamatan diri. - MYNEWSHUB

Post a Comment

0 Comments