Pemergian Yang Dicemburui....
Kota Kinabalu: Suasana hening di Masjid Jamek Kampung Likas malam tadi bertukar sayu apabila seorang jemaah disahkan meninggal dunia sejurus selesai menunaikan solat Isyak.
Menurut perkongsian di laman Facebook masjid berkenaan, arwah merupakan jemaah setia yang hampir setiap hari melangkahkan kaki ke rumah Allah itu untuk menunaikan solat fardu.
Kehilangan beliau bukan sekadar dirasai ahli keluarga, malah turut menyentuh hati para jemaah yang mengenali ketekunannya beribadah.
“Arwah adalah antara jemaah yang rutin hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu.
"Pemergian almarhum ini satu kehilangan yang besar, namun pada masa sama satu ‘keuntungan’ yang amat dicemburui — pergi menghadap Ilahi selepas solat fardu Isyak, pada malam Jumaat dan dalam bulan yang mulia, Ramadan,” tulis pihak masjid dalam hantaran tersebut.
Berita pemergian itu mengundang sebak ramai netizen.
Ruang komen dibanjiri ucapan takziah dan doa, dengan ramai menyifatkan arwah dikurniakan husnul khatimah — meninggal dunia di rumah Allah, pada malam Jumaat dan di awal Ramadan, saat pintu rahmat terbuka luas.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan arwah, mengampuni dosa-dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” tulis seorang pengguna.
Al-Fatihah.
Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.-MYNEWSHUB



0 Comments