Ticker

6/recent/ticker-posts

Ramai pencarum puas hati

 


Bersyukur dan lega. Itu reaksi orang ramai terhadap pengumuman kemudahan i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dibuka kepada semua ahli terjejas pendapatan akibat Covid-19.


Kelayakan bagi Kategori 1 membabitkan ahli bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau diberi notis cuti tanpa gaji.


Kriteria bagi Kategori 1 itu adalah ahli tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan atau ahli masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.


Bagi kategori 2 terdiri daripada ahli masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan 30 peratus dan ke atas perlu menyertakan dokumen sokongan seperti slip gaji sebelum dan selepas pengurangan, notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

Permohonan pengeluaran i-Sinar secara dalam talian boleh dibuat 21 Disember ini dan bakal memanfaatkan lapan juta pencarum yang terjejas membabitkan peruntukan RM70 bilion.




Wartawan Harian Metro mendapatkan reaksi orang ramai berhubung usaha kerajaan itu menerusi KWSP bagi membantu kelangsungan hidup rakyat mendepani kesan Covid-19 yang menjejaskan kehidupan mereka.


Peniaga dalam talian, Normahani Abd Razak, 43, Kuala Lumpur


"Saya berpuas hati kerana kerajaan membenarkan golongan seperti kami mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk kegunaan pada masa sukar ini dengan proses yang amat mudah.


Suami diberhentikan kerja awal tahun ini sudah tentu pengeluaran ini amat bermakna buat kami menampung mana-mana kekurangan.


Peluang ini akan kami gunakan sebaik mungkin untuk simpanan kecemasan dan kegunaan berhemah."


Suri rumah, Tazwida Mohamad Baharum, 41, Kuala Lumpur


"Saya cadang mengeluarkan sebahagian wang simpanan Akaun 1 untuk membayar hutang sedia ada dan sebahagiannya disimpan untuk kecemasan.


Kebetulan moratarium sudah berakhir dan gaji suami pula cukup-cukup kerana elaun tuntutan lebih masa sudah dipotong, jadi peluang ini amat tepat untuk menampung perbelanjaan keperluan kami."


Bekas akauntan, Nor Kartini Abu Bakar, 38, Bachok, Kelantan



"Saya lega dapat mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP, sekali gus meringankan beban selepas diberhentikan kerja pada awal tahun lalu.


Suami, Mokhtar Yasin Mustapa, 45, turut diberhentikan kerja pada Jun lalu kerana pihak pengurusan mengadakan rombakan kakitangan bagi mengecilkan kos pengoperasian.


Dengan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP, ia boleh digunakan untuk kami membuat modal pusingan perniagaan."


Suri rumah, Mariam Ngah, 33, Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu


"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan dan prihatin dengan masalah membelenggu kebanyakan masyarakat sekarang.


"Ramai terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa termasuk kehilangan pekerjaan.


"Saya sendiri sangat memerlukan, maklumlah sudah diberhentikan kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta."


Suri rumah, Mukhtarah Ahmad, 44, Tasek Gelugor, Pulau Pinang


"Bantuan ini boleh dijadikan modal tambahan perniagaan nasi lemak selain membiayai kos pengajian anak yang masih belajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).


Saya sudah berhenti kerja 10 tahun lalu bersyukur dengan program ini kerana sangat membantu perniagaan nasi lemak merosot selepas tidak lagi menerima tempahan dan sekadar mengharapkan jualan biasa sahaja."


Penghantar makanan, Muhammad Asqalani Hamizi, 28, Meru Raya, Ipoh


"Kemudahan i-Sinar membantu saya yang hilang pekerjaan tetap sebagai eksekutif syarikat swasta sejak PKP dilaksanakan pada Mac lalu."


Kini pendapatan saya yang tidak menentu sebagai penghantar makanan sekadar cukup makan bagi menampung komitmen bulanan termasuk bayaran bilik sewa, makan, minum, bayaran balik pinjaman pelajaran dan sebagainya.


Saya pula sedang menyambung pengajian jarak jauh di peringkat sarjana yang sudah tentu menambah lagi komitmen bulanan saya."


Orang kurang upaya (OKU), Salmiah Zakaria, 37, Felda Lui Barat


"Saya akan membelanjakan duit berkenaan bagi membeli ubat sampingan kanser selain kos berulang-alik ke hospital bagi rawatan susulan.


Sejak Januari lalu saya sudah tidak lagi bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat swasta di Bandar Seri Jempol.


Saya tidak pasti berapa yang ada dalam akaun satu KWSP namun berharap boleh mengeluarkan duit yang ada untuk kegunaan perubatan."

Post a Comment

0 Comments