Header Ads

Breaking

Saturday, June 26, 2021

Hanya di Kelantan, Nasi berlauk janda semurah RM1.50

 


Tekad seorang peniaga di Kampung Alor Tal di sini, menjual nasi berlauk pada harga serendah RM1.50 sebungkus, nyata menjadi apabila mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat.


Nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan dan ayam goreng serta nasi lemak itu dijual oleh Siti Suhada Salleh, 34, sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, awal bulan ini.


Mengakui harga jualannya amat murah, ibu tunggal dua cahaya mata itu yang mengusahakan perniagaan bersama adiknya, Siti Salma Salleh, 32, masih mendapat keuntungan.


Awalnya Siti Suhada hanya membantu adiknya menjaja nasi berlauk masakan sendiri di sekitar kampung dengan menunggang motosikal.




"Hari pertama menjaja, saya hanya menyediakan 40 bungkus nasi berlauk gulai ayam dan ikan serta nasi lemak. Oleh sebab murah, jualan habis dalam tempoh singkat.


"Esoknya saya tambahkan kepada 80 bungkus kerana ada pelanggan memesan sejumlah bungkusan untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan dan pada masa sama katanya ingin membantu perniagaan kecil-kecilan saya ini," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Alor Tal di sini, hari ini.


Selepas dua minggu menjaja dengan motosikal, Siti Suhada menukar kaedah jualan dengan membuka meja supaya pelanggan dapat datang secara terus.


Beliau yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta di daerah ini, mempunyai banyak masa terluang kerana tidak dapat keluar bekerja, lalu dimanfaatkan mencari rezeki dengan berniaga.


"Saya mula memasak jam 11 malam. Mulai jam 3 pagi, saya dan adik memulakan kerja membungkus nasi yang sudah ditempah pelanggan sebelum bersambung jam 7 pagi sebaik gerai kecil di hadapan rumah dibuka.


"Apabila sudah boleh keluar bekerja kelak, perniagaan ini akan diteruskan dan adik mungkin mengupah pembantu untuk membungkus kerana saya hanya boleh memasak selepas ini," katanya yang menjual purata 300 bungkus setiap hari.


Tinjauan di hadapan rumahnya mendapati, pembeli beratur panjang sebelum jam 7 pagi dan kebanyakannya membuat pesanan melebihi lima bungkus seorang.


Pembeli, Ahmad Baderul Ag Ahmad, 39, berkata harganya yang murah dan lokasi berdekatan rumahnya.


"Hari ini saya membeli 12 bungkus nasi lauk ayam gulai yang ditempah semalam dan sangat mengejutkan kerana ia diberi percuma. Mungkin ada individu bermurah hati memberi sedekah dengan cara ini. Alhamdulillah," katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.