Header Ads

Breaking

Sunday, July 18, 2021

Jual deriye muroh, nok bui semuo pakat raso, kata Wan Mohd Faizal

 


Ketibaan musim durian tetap dinantikan kalangan penggemar raja buah itu yang tidak melepaskan peluang untuk menikmatinya walaupun pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara masih berkuat kuasa di Kelantan ketika ini.

Namun, menyedari mungkin kebanyakan masyarakat mengalami masalah kewangan susulan perintah tersebut, seorang peniaga buah-buahan secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis durian pada harga serendah RM15 sekilogram dan ke atas, mengikut varieti.

"Saya jual murah durian ini sebab nak bagi semua penggemar durian merasainya. Tambahan pula, ramai yang mungkin menghadapi masalah kewangan sekarang," kata Wan Mohd Faizal Wan Mohd Noor, 39, yang merupakan pemilik kedai buah-buahan dinamakan 9932 Durian Stall.



Lebih menarik lagi, kedainya yang terletak di tepi Jalan Tok Kenali, berdekatan Wakaf Stan, di sini, turut menjual durian kampung secara 'lelong' setiap hari, iaitu pelanggannya boleh membeli seberapa banyak durian yang boleh dimuatkan di dalam satu beg plastik bersaiz 'XL'.

Menjelas lanjut kepada Bernama, Wan Mohd Faizal berkata jualan secara pukal berkenaan yang bermula pada 17 Jun lepas hingga kini, menawarkan durian kampung jenis gred BC yang dijual pada harga siling iaitu RM20, manakala gred A (RM50) dan Kahwin Campur (RM70), masing-masing bagi satu beg plastik.

"Pelanggan beli, kemudian akan pilih dan ambil seberapa banyak durian mereka mahu, asalkan penuh satu beg plastik dan selagi mereka boleh bawa. Alhamdulillah, jualan ini mendapat sambutan dalam kalangan penggemar durian yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk di sekitar sini," katanya yang mengusahakan kedai buah-buahan itu sejak lima tahun lepas.

Wan Mohd Faizal turut berkata kebiasaannya, puluhan pelanggan mula beratur di luar kedainya seawal 9 pagi, bagi menunggu giliran untuk membeli dan memilih durian kampung yang dijual secara longgokan itu.

Ujarnya, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan C0VID-19, hanya empat pelanggan dibenarkan memilih durian yang dibeli mereka dalam masa sekurang-kurangnya lima minit untuk mengelakkan berlaku kesesakan.



Wan Mohd Faizal juga berkata hasil keuntungannya mampu mencecah puluhan ribu ringgit dengan kira-kira seberat 12 tan durian terdiri daripada pelbagai jenis termasuk Musang King, terjual dalam sehari.

"Bekalan durian ini, saya borong pada harga berpatutan daripada pekebun-pekebun kecil di seluruh Malaysia antaranya Perak, Johor serta Kelantan," katanya yang menjual durian jenis Musang King pada harga RM25 sekilogram.

Sementara itu, ketika ditemui, seorang pelanggan Nik Izwandi Nik Ahmad, 29, berkata konsep jualan sebegini amat berbaloi memandangkan dirinya adalah penggemar durian sejak kecil lagi.

"Saya dah lama cari peniaga yang jual durian dengan harga berpatutan tanpa ikut timbang. Memang puas hati sebab dapat beli lebih 10 biji durian kampung gred A sekali gus dengan harga berpatutan iaitu RM50 satu beg plastik," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.