Ticker

6/recent/ticker-posts

Peniaga tertekan sehingga viralkan video durian kira-kira 2 tan tak laku

 

Gambar hiasan



Tertekan dengan longgokan durian yang tidak terjual, seorang peniaga bertindak menularkan video yang dirakam di media sosial untuk menarik simpati orang ramai termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).


Peniaga tersebut, Mohd Firdaus Endut, 41, berkata, video itu dirakam secara spontan di gerainya di Ijok, di sini pada Isnin sebelum tular beberapa hari.



Menurutnya, hasil video yang tular itu berjaya menarik perhatian Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan FAMA yang membantu menyelesaikan masalah itu.


"Video itu sebenarnya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa termasuklah FAMA tetapi apa yang berlaku itu spontan sebab saya ketika itu dalam keadaan tertekan, buah banyak tak boleh jual.


"Lambakan durian berlaku ketika itu dengan kira-kira dua tan buah tidak boleh dijual kerana pemborong tak ambil sebab Hari Raya Haji," katanya kepada pemberita selepas ditemui di premisnya di Ijok, di sini pada Khamis.



Mohd Firdaus turut mengakui dakwaan bahawa FAMA tidak mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi dalam video tular itu tidak tepat dan menghargai tindakan pantas FAMA membeli buah duriannya.


Katanya, sebelum ini terdapat pemborong dari Kelantan dan Terengganu yang mengambil buah durian itu namun disebabkan kekangan hari raya serta buah durian yang luruh serentak mengakibatkan lambakan tersebut berlaku.


Menurutnya, ketika ini harga durian kampung di peringkat peraih RM2.50 hingga RM3.50 sekilogram kerana jumlah durian yang luruh semakin banyak.

Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments