Ticker

6/recent/ticker-posts

Ditawar RM30 juta dan jawatan menteri supaya sokong PN, Kulasegaran nekad buat laporan polis

 


Bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mendakwa ditawarkan jawatan sebagai menteri dan sejumlah wang untuk menukar sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Kulasegaran mendakwa, tawaran yang turut melibatkan ganjaran lain itu diterima melalui aplikasi WhatsApp di telefon bimbit milik Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah, semalam.


Katanya, individu sama juga pernah cuba menghubunginya menerusi panggilan namun tidak dilayan sebelum bertindak menawarkan tawaran tersebut melalui Jeremy.


“Individu tidak dikenali itu menawarkan ganjaran berupa wang dan kedudukan sebagai menteri serta peruntukan penuh untuk Parlimen Ipoh Barat.


“Mesejnya yang menyebut harga durian runtuh RM30 juga dipercayai membawa maksud RM30 juta untuk saya sekiranya bersetuju dengan tawaran berkenaan (menyokong PN),” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.



Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, tawaran yang diterimanya itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana PN kini dalam keadaan terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.


Beliau berpendapat, daripada mendekati ahli Parlimen dengan cara sedemikian, adalah lebih baik untuk kerajaan PN mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran.


“Sebagai wakil rakyat, kita dipilih oleh rakyat dan merekalah yang menentukan masa depan kita. Kita menjadi wakil rakyat bukan untuk dijual beli.


“Wang dan kedudukan bukanlah faktor yang boleh mempengaruhi kita untuk meninggalkan parti. Saya sendiri tidak mempunyai niat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun kerajaan PN,” katanya.



Tambah Kulasegaran, beliau yakin kesemua 42 ahli Parlimen DAP kekal setia dengan parti dan sama sekali tidak akan khianat dengan menyokong kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.


Sementara itu, Jeremy berkata, mesej daripada individu yang hanya dikenali sebagai ‘Jep’ itu menawarkan satu daripada jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.


“Dia bukan sahaja menawarkan RM30 juta malah secara tersirat menawarkan jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong serta Ahli Parlimen Lenggong. Dia menawarkan kepada Kulasegaran salah satu jawatan itu,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Post a Comment

0 Comments