Ticker

6/recent/ticker-posts

Pentadbiran negara tetap berfungsi walau kerajaan PN tumbang, kata Zahid Hamidi

 


Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan bahawa pentadbiran negara akan lumpuh sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi berkuasa.


"Tidak benar sama sekali. Ini sentimen yang sedang cuba direka oleh pasukan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat.


"Dakyah ini direka oleh kumpulan yang sedang terdesak bagi mengekalkan kuasa, jawatan dan kedudukan.


"Walau kerajaan PN tidak lagi berkuasa, pentadbiran negara terus berfungsi secara sementara di bawah KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian," katanya dalam kenyataan.



Zahid memberikan contoh pentadbiran negara masih berfungsi selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Feb 2020.


Begitu juga apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Mei 2018.


"Sangat tidak bertanggungjawab apabila mereka berterusan cuba mengelirukan rakyat dengan pembohongan itu pula (sekali lagi)," kata Zahid.


Zahid mengetuai desakan dari Umno untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada jawatan perdana menteri,


Pun begitu dia menghadapi tentangan daripada ahli-ahli parlimen Umno sendiri yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.



Mereka yang mempertahankan PN berpendapat cubaan menumbangkan kerajaan akan merencatkan usaha membendung waabak C0vid-19.


Ketika tiada kerajaan dibentuk pada Feb 2020, Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara selama enam hari sehingga Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri.


Belgium umpamanya pernah melalui pengalaman tidak memiliki kerajaan sebanyak dua kali akibat parti-parti politik tidak dapat membentuk gabungan.


Dalam keadaan itu, seorang perdana menteri sementara ditugaskan untuk mentadbir negara.

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments