Ticker

6/recent/ticker-posts

PKR dakwa cubaan beli lima ahli parlimennya langkah terdesak, kata Saifuddin Nasution

 


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa lima ahli parlimen daripada parti itu cuba 'dibeli' untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin.


Saifuddin membuat pendedahan itu selepas beberapa ahli parlimen DAP mendakwa mereka ditawar habuan termasuk jawatan menteri untuk berpaling tadah.


"Usaha membeli ahli parlimen sedang berjalan rancak. Dalam 48 jam terakhir beberapa anggota Dewan Rakyat daripada PKR dihubungi dengan tawaran jawatan dan tunai.


"Jelas ini langkah terdesak kerajaan PN untuk sambung hayat politik mereka tanpa segan silu," katanya kepada Malaysiakini.


Saifuddin berkata lima ahli parlimen PKR berkenaan ialah Leow Hsiad Hui (Hulu Selangor), Azman Ismail (Kuala Kedah), Chan Ming Kai (Alor Setar), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).


"Sumber yang menghubungi itu dari nombor telefon yang sama tetapi skrip berbeza.


"Ada juga ditawar jawatan menteri yang kosong sekarang," katanya.


Semalam empat ahli DAP iaitu M Kulasegaran (Ipoh Barat), Wong Kah Woh (Ipoh Timur), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Kelvin Yii (Kuching) turut mendakwa menerima tawaran sehingga RM30 juta agar menyokong Kerajaan PN.


Sokongan majoriti perdana menteri di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu mengambil keputusan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.


Susulan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata pihaknya akan membawa usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September depan bagi membuktikan dia memiliki majoriti.


Namun pembangkang dan beberapa pemimpin Umno termasuk Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak mendesak Muhyiddin agar mengadakan sidang parlimen secepat mungkin.



Menulis di Facebooknya semalam, Saifuddin berkata cubaan menawarkan habuan itu merupakan sebab mengapa Muhyiddin mahu melengahkan persidangan parlimen.


"Ini sebabnya (membeli ahli parlimen pembangkang) mengapa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin buat undi percaya bulan September.


“Melayu Islam tergugat. Atau kuasa, pangkat dan habuan yang menjadi tujuan berjuang.


"Saya ucap syabas kepada semua rakan-rakan MP yang mendedahkan langkah belakang tabir oleh kerajaan PN ini agar rakyat boleh mengenali politik jijik mereka ketika negara sedang berdepan pandemlk c0vid19, mereka pula lebih bimbang kuasa politik hilang," katanya


Setakat ini, 13 ahli parlimen Umno secara terbuka mengumumkan telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.


Ini menjadikan jumlah anggota Dewan Rakyat yang menolak kerajaan PN sebanyak 118 termasuk pembangkang.

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments