Ticker

6/recent/ticker-posts

Kami terpaksa gugurkan nama pelakon tak ambil vaksin, kata Along Kamaludin dan Sheila Rusly

 


Pengarah Along Kamaludin mengakui terpaksa menggugurkan beberapa pelakon yang ditawarkan bagi membintangi telefilem arahannya, Abang Ngah ekoran tidak mengambil suntikan vaksin.


Along berkata, tindakan itu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan syarat dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terhadap industri seni dan kreatif.


"Saya baru selesai penggambaran telefilem Abang Ngah. Ada beberapa pelakon saya panggil mereka tak lengkap vaksin. Ada juga tak ambil lagi, sama ada belum atau tak mahu. Apabila saya tanya sudah ambil vaksin, mereka kata belum. Jadi, saya minta pergi ambil vaksin dulu sebab masih ada masa sebelum penggambaran.


"Namun sampai ke akhir nak 'shoot' (penggambaran), masih bagi alasan belum vaksin dan macam-macam alasan lagi. Saya terpaksa akur dengan SOP ditetapkan MKN dan arahan dari Finas iaitu kena lengkap dua dos vaksin baru boleh bekerja. Jadi saya tiada pilihan dan terpaksa gugurkan beberapa pelakon untuk telefilem ini. Kru produksi tidak ada masalah kerana sudah lama lengkap vaksin," katanya tanpa mendedahkan nama pelakon terbabit.



Menurut Along, dia tidak mahu memaksa mana-mana individu atau pelakon untuk mendapatkan vaksin.


"Pelakon yang tidak mahu vaksin, jadi tak boleh nak buat apa. Itu hak mereka, hak masing-masing. Tapi MKN dan kerajaan kata kena lengkap dua dos, jadi kena ambillah. Ia untuk keselamatan orang sekeliling kita, itu saja.


"Bagi telefilem ini, dua hari sebelum penggambaran semua terbabit kena buat ujian menggunakan Antigen Test Kit. Kena pastikan semua negatif baru boleh bekerja. Jadi di set pun tidak ada masalah, sebab tahu semua sudah lengkap vaksin dan negatif," katanya kepada Harian Metro.


Sementara itu, penerbit dan pelakon Sheila Rusly berkata, syarikat penerbitannya, JS Pictures juga tidak mahu mengambil risiko bekerjasama dengan mereka yang tidak lengkap vaksin.



"Saya akan memulakan penggambaran drama hujung bulan ini. Walaupun dalam keadaan yang tidak semudah dulu, tapi sedaya-upaya akan cuba berkarya. Dalam pemilihan pelakon, sebelum tawarkan kepada mereka, syarat adalah kena lengkap vaksin.


"Ada juga kru yang tak vaksin, jadi kami tak ambil. Ada juga sudah ambil tapi baru satu dos, tapi kita tak nak ambil risiko. Jadi yang boleh bekerja dengan JS Pictures adalah artis dan kru yang sudah lengkap vaksin.


"Ini kerana kita kena ikut SOP ditentukan kerajaan dan MKN. Kena ikut SOP itu. Kalau tidak kita akan 'shooting' dalam keadaan tak tenteram. Kita masing-masing kena ada tanggungjawab. Tak nak perkara ini merebak dan berikan impak negatif pada industri kita," katanya.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments