Ticker

6/recent/ticker-posts

Siapa perlu bertanggungjawab dan dipersaIahkan Ziyad hilang RM1.12 juta?

 


Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan di sebalik insiden pingat emas jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ditarik balik pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kelmarin?


Kelewatan juara bertahan itu memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan yang menjadi punca kemenangannya dibatalkan, adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku dan sukar diterima.


Malah, dek kerana kecuaian itu bukan sahaja Ziyad dan kontinjen negara hilang emas, tetapi lebih malang Ziyad terlepas ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik selain RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.


Jaguh negara berusia 31 tahun itu juga hilang statusnya sebagai pemegang rekod dunia.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang pernah menjadi ketua kontinjen di Paralimpik London 2012 dan Sukan Asia Guangzhou 2018 mengakui insiden itu tidak masuk akal kerana ini bukan pertama kali kontinjen negara bertanding di Paralimpik.


"Ada empat peringkat yang akan memastikan setiap urusan atlet negara di mana-mana temasya berjalan lancar bermula daripada ketua kontinjen, pegawai urusetia, pengurus pasukan dan jurulatih.


"Ketua kontinjen dan pegawai urusetia menguruskan hal kontinjen secara keseluruhannya manakala setiap sukan pula ada pengurus dan jurulatih.



"Jadi, bagaimana perkara ini (lewat memasuki bilik menunggu) masih boleh berlaku? Ini yang perlu diberikan penjelasan, mengapa boleh lewat dan siapa yang perlu bertanggungjawab. Lagipun, ini bukan kali pertama kita bertanding di Paralimpik," katanya kepada BH Sukan.


Terdahulu, emas dan rekod dunia yang dilakukan Ziyad ditarik balik selepas protes yang dilakukan kem Ukraine yang mendakwa dia bersama dua lagi atlet Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.


Walaupun kontinjen Malaysia mengemukakan rayuan namun ia ditolak oleh Juri Rayuan Olahraga Para Dunia berdasarkan Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia - 'Gagal melaporkan diri ke bilik menunggu yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke bilik menunggu pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual bilik menunggu, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).


Berdasarkan peraturan itu juga, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke bilik menunggu.


Zolkples berkata, insiiden itu juga seharusnya menjadi pengajaran berguna buat semua atlet negara tidak kira atlet normal mahupun atlet kurang upaya.



"Jangan ambil mudah perkara sebegini walaupun pun sudah mahir dengan peraturan dan selok belok kawasan pertandingan. Bila-bila masa boleh berlaku kesilapan sekiranya kita lalai dan ianya amat merugikan. Sesal kemudian tidak ada gunanya. Lepas itu kita salahkan orang lain pula akibat dari kesilapan kita sendiri," katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam menjelaskan kelewatan didakwa berlaku selepas ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke bilik menunggu tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.


"Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan berkenaan yang agak padat dengan atlet-atlet dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlet terbabit telah terhalang untuk memasuki bilik menunggu dan pada ketika itulah mereka didakwa lewat melaporkan diri.


"Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet berkenaan sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke bilik menunggu. Selepas merayu supaya dibenarkan masuk, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments