Ticker

6/recent/ticker-posts

Ada Mahasiswa terpaksa berhenti latihan industri kerana tertekan

 


Terdapat mahasiswa yang tertekan dan berhenti menjalani latihan industri di syarikat tertentu kerana mendakwa diperlakukan seperti hamba.


Terdapat juga syarikat yang memberikan elaun yang rendah kepada mahasiswa dan lebih teruk apabila dipaksa bekerja seperti pekerja am tanpa sebarang upah.


Pelajar, Aisyah Zolkipli, 24, berkata, sepanjang pengalaman selama empat bulan menjalani latihan industri, majikan memberi tugasan yang lari daripada skop kerja yang sepatutnya.


“Syarikat memberi saya elaun sebanyak RM500 sebulan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pihak syarikat memotong elaun dengan alasan yang tidak masuk akal sedangkan saya bekerja seperti biasa dan melakukan pelbagai tugasan diberikan.



“Walaupun hanya pelajar praktikal, saya rasa tidak wajar jika pelajar diberikan layanan sebegitu. Pihak syarikat perlu menjaga kebajikan pelajar praktikal sama seperti pekerja yang lain juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Seorang lagi pelajar, Fasihah Shamsul Azree, 24, berkata, elaun yang diberikan oleh sesetengah syarikat juga tidak munasabah, malah ada yang langsung tidak memberi elaun kepada pelajar.


“Saya berpendapat pihak syarikat yang ingin mengambil pelajar menjalani latihan industri ini perlulah memperuntukkan elaun secukupnya dan bertimbang rasa kerana kami juga memerlukan wang pada musim C0vid-19 ketika kos sara hidup semakin tinggi.


“Kami sebagai pelajar yang menjalani praktikal juga bekerja seperti biasa dan mengeluarkan tenaga untuk syarikat, maka bertimbang rasalah dengan kami sebagai pelajar,” ujarnya.




Nur Izzati Abd Rahman, 25, juga setuju bahawa kebanyakan syarikat yang menawarkan peluang membuat latihan industri tidak menyediakan elaun.


“Saya baru menamatkan latihan industri selama enam bulan dan ia berjalan lancar. Sehinggalah masuk bulan ketiga saya berasa kurang selesa dengan pekerja-pekerja yang sering mengarah saya. Beberapa pelajar praktikal yang lain juga dibebankan dengan tugasan yang di luar skop pembelajaran praktikal.


“Pekerja tetap juga mengambil kesempatan terhadap pelajar praktikal dengan memberi tugasan kerja mereka dan dikerah untuk menyiapkan dalam jangka masa singkat,” katanya.


Tambah Nur Izzati, elaun yang diberikan oleh pihak syarikat juga tidak memadai dan perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan semua kerja sehingga terpaksa balik lewat setiap malam.


“Saya berharap ada pihak yang membantu pelajar-pelajar praktikal ini supaya tidak terus ditindas dan dipergunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments