Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya reda apabila hubungan cinta selama lima tahun tidak mampu diteruskan, kata Aliff Iskandar

 


PERNAH melalui episod kegagalan dalam percintaan, penyanyi baharu Aliff Iskandar enggan memikirkan soal cinta buat masa ini.

Aliff berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah masa depan kerjaya seninya sebagai penyanyi, penulis lagu dan pelajar di Institut Perguruan Ilmu Khas.

"Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Saya reda apabila hubungan saya berakhir tahun lalu. Ia berpunca daripada salah faham yang tidak boleh diselamatkan lagi.


"Saya reda apabila hubungan cinta selama lima tahun tidak mampu diteruskan. Saya okey dengan perpisahan ini kerana hidup perlu diteruskan.

"Lagipun dia sudah pun mempunyai kekasih hati baharu dan saya enggan memikirkannya lagi. Saya pun dah malas nak fikir soal cinta dan mahu fokus kerjaya terlebih dahulu," katanya.



Menurut Aliff, pengalaman adalah guru terbaik dan dia berharap dapat dipertemukan dengan wanita yang memahaminya satu hari nanti.


"Saya suka gadis yang boleh memahami dan terima kerjaya yang saya pilih ini. Sebagai manusia, kita mempunyai perasaan cemburu. Apatah lagi kerjaya seni banyak spekulasi ataupun perkara yang mendatangkan perasaan cemburu. Oleh itu, saya mahukan gadis yang benar-benar memahami kerjaya saya," katanya.


Perpisahan yang berlaku, Aliff mengakui dia terjemahkan dalam karya ciptaannya kerana menganggap ia dekat di hatinya.


"Jika dengar lagu yang saya hasilkan, ini semua berdasarkan kisah cinta. Jadi, segala kenangan kisah cinta, saya selitkan dalam lagu," katanya.


Siapa sangka, biarpun belum setahun dalam industri seni, Aliff bersyukur apabila dirinya semakin dikenali, namun tidak membuatkan dia berada di zon selesa.


"Banyak yang belum saya terokai. Sekarang saya mahu fokus membina kerjaya dan dalam masa sama, belum tamat belajar.


"Saya akan menamatkan pengajian dalam tempoh setahun setengah lagi. Jadi, saya mahu tolak perkara yang tidak penting untuk difikirkan," katanya.


Aliff yang juga artis di bawah naungan Indigital Music akan tampil dengan single terbaharu berjudul Takdir. Lagu itu akan menjadi runut bunyi bagi drama Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini siaran TV3.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments