Ticker

6/recent/ticker-posts

Demi ibu dan 2 adik, Alang tak kisah jadi tukang cuci sejak umur 19 tahun

 



Menurut Noraini Hamzah, 28, dia tidak pernah berahsia soal pekerjaannya, malah bangga apabila dapat berbakti kepada masyarakat sebagai tukang cuci.


Mesra disapa Alang, wanita dari Lanchang, Pahang itu menceburi bidang kerja berkenaan sejak berusia 19 tahun.


"Selepas tamat persekolahan, saya terus bekerja sebagai cleaner. Pertamanya, lokasi tempat kerja dekat dengan rumah.


"Kedua, gaji juga Alhamdulillah mencukupi untuk saya. Lagi satu, saya tak pernah memilih kerja, saya terima seadanya.


"Saya seronok dengan kerja ini. Di tempat kerja, saya juga banyak bergaul dengan cleaner yang berusia. Walaupun muda, saya boleh 'masuk' dengan mereka semua," ujarnya.


Menurut Alang, dia bertugas sebagai pekerja pembersihan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Temerloh sehingga tahun 2017.


Dia kemudiannya berhenti kerja dan beralih bidang untuk menjadi pengasuh di sebuah taska selama tiga tahun.


"Saya kerja sebagai cleaner sejak tahun 2013 sehingga 2017. Kemudian, selama tiga tahun saya kerja taska. Pada bulan November tahun lepas, saya kembali bekerja sebagai cleaner.


"Kemudian, kali ini saya dapat kerja di sebagai pengasuh di taska sekali lagi. Rezeki saya pusing-pusing di tempat sama. Saya terima saja rezeki ini," ujarnya.


Menurut Alang lagi, dia tidak pernah berasa malu, sebaliknya bersyukur dapat mencari rezeki halal untuk diri sendiri dan keluarga.


Dedah Alang, dia sudah tiga tahun berkahwin, namun berjauhan dengan suami yang kini bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur.


"Ketika bekerja, ada pelajar pernah tanya saya sekiranya saya malu bekerja sebagai cleaner? Saya kata saya tak pernah malu.


"Rezeki saya di situ. Saya bukan nak cari muusuh. Tapi cari rezeki untuk keluarga dan adik-adik. Saya tak malu pun, sebaliknya saya suka.


"Suami pula bekerja Kuala Lumpur. Jadi saya duduk di kampung bersama emak dan dua adik. Saya duduk sini untuk tanggung mak dan jaga dia. Ayah pula dah 13 tahun meninggal," ujarnya.


Dalam pada itu, Alang yang juga anak keempat daripada enam beradik turut terkejut apabila video mengenai kisah hidupnya tular di TikTok.


Kata Alang, dia sekadar berkongsi secara suka-suka dan tidak menyangka akan dihujani komen positif oleh netizen.


"Awal-awal saya risau juga sekiranya akan ada komen negatif. Tapi Alhamdulillah, semua baik-baik. Saya memang tak sangka, saya cuma nak kongsi video saja.


"Saya terharu ramai yang doakan saya. Hanya satu saya nak pesan, jangan pernah malu dengan pekerjaan kita.


"Tak perlu malu kerana ia rezeki Allah. Biarlah apa orang nak cakap, duit yang kita dapat bukan orang yang bagi. Semuanya dari Allah," ujarnya lagi.


Sumber : mStar Online

Post a Comment

0 Comments