Header Ads

Breaking

Thursday, February 24, 2022

Harga makanan di bazar Ramadan dijangka naik, peniaga terpaksa kecilkan saiz untuk kurangkan kos

 


Kalangan peniaga bazar Ramadan di negeri ini berkemungkinan terpaksa mengecilkan saiz makanan atau minuman yang dijual sebagai pilihan terakhir untuk tidak menaikkan harga.


Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, langkah itu sekurang-kurangnya dapat membolehkan golongan berkenaan meraih sedikit pulangan susulan harga bahan mentah yang melambung.


Katanya, selain kos barangan yang mahal, para peniaga juga terbeban dengan harga tapak bazar yang tinggi.


“Saya tidak menolak kemungkinan harga makanan di bazar Ramadan tahun ini misalnya kuih-muih dan nasi naik disebabkan beberapa faktor seperti kos tapak dan bahan mentah.


“Kalau ada peniaga yang mengekalkan harga lama mungkin kerana dia memilih mengecilkan saiz hidangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Bagaimanapun, Zakaria percaya kenaikan harga itu kelak tidak akan menjejaskan jualan peniaga kerana orang ramai akan tetap berkunjung ke bazar Ramadan.


Katanya, di bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini misalnya, sering menjadi tumpuan pembeli bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.


“Bazar Ramadan menjadi pilihan ramai terutama golongan yang bekerja kerana mereka tidak sempat memasak di rumah. Namun, saya minta peniaga tidak menaikkan harga makanan dengan melampau supaya pengguna tidak terbeban,” katanya.


Sementara itu  di KOTA KINABALU, Pengerusi Penjaja Gerai Pantai 1, Tanjung Aru, Dahlan Jasiri berkata, biarpun harga bahan mentah mungkin sedikit mahal pada tahun ini namun, penjaja  di Pantai Tanjung Aru tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga terlalu tinggi.



“Jika ada kenaikan harga makanan sekali pun mungkin sekadar 20 sen atau 30 sen sahaja. Peniaga tidak akan sesuka hati menjual pada harga yang terlalu tinggi.


“Malah, sewa tapak juga masih dikekalkan pada harga yang sama jadi, saya tidak melihat ada keperluan untuk peniaga menaikkan harga makanan terlalu tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Dahlan berkata, setakat ini tiada aduan mengenai penjaja gerai menaikkan harga secara melampau.


Gerai Tanjung Aru yang dibuka setiap hari ini menempatkan 66 lot kedai dan mereka akan beroperasi seperti biasa menjelang bulan Ramadan.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah (PPBPBS), David Chan turut menjangka harga makanan di bazar Ramadan akan meningkat sedikit berbanding sebelum ini.


Jelas beliau, pengguna tidak boleh mengandaikan harga makanan kekal pada harga sama jika harga barangan seperti minyak masak, tepung dan gula sudah naik. Jika harga bahan mentah naik maka, harga kuih-muih dan makanan yang dijual juga akan naik.


Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan peniaga di bazar-bazar Ramadan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi bagi mengelakkan pengguna terus terbeban.


Biarpun harga makanan di bazar Ramadan tidak mempunyai harga siling namun, itu bukan jaminan untuk peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna yang sudah cukup terbeban dengan pengurangan gaji dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.


“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan peniaga barangan runcit supaya tidak menyorokkan barang-barang keperluan seperti minyak masak, tepung dan gula kerana ingin mengaut keuntungan dengan menjualnya pada harga yang lebih tinggi semasa menjelang bulan Ramadan.


“Sifat pentingkan diri sebegitu hanya akan membebankan peniaga yang memerlukan bahan-bahan mentah untuk membuat kuih-muih. Peniaga barangan runcit mahupun pasar raya harus berlaku adil kepada peniaga-peniaga kecil.


Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu memantau aktiviti penyeludupan barang keperluan asas bersubsidi seperti gula dan minyak masak ke negara jiran bagi memastikan bekalan di negeri ini sentiasa mencukupi.


Sementara itu di PULAU PINANG difahamkan, kenaikan harga makanan termasuk minuman itu dijangka berlaku sehingga RM3 menjelang Ramadan nanti.


Bukan setakat itu, peniaga dikatakan terpaksa bersedia dengan kemungkinan berlaku kenaikan kadar sewa tapak bazar Ramadan pada tahun ini berbanding sekitar RM500 hingga RM2,000  tahun lalu.



Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang (PPPMPP), Mohamad Anuar Awang berkata, trend kenaikan harga makanan berasaskan ayam dan telur di gerai termasuk bazar Ramadan dijangka berlaku berikutan faktor kekurangan bekalan barangan keperluan tersebut ketika ini.


Menurutnya, peniaga makanan semakin terdesak dan terpaksa menaikkan harga jualan bagi menampung kos pembelian barangan masakan daripada pembekal dan pemborong.


“Tidak mustahil harga makanan akan naik nanti kerana peniaga akan berdepan kesukaran memperoleh barangan keperluan asas selain harga harganya yang semakin tinggi.


“Saya yang juga peniaga ayam gunting terpaksa menaikkan harga sehingga RM9 bagi yang ayam bersaiz kecil berbanding RM8 di pasaran  ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.


Tambahnya, sepanjang tahun ini harga barangan keperluan seperti telur, ayam, tepung, bawang dan minyak masak botol dikesan mengalami kenaikan sehingga lebih RM1 berbanding tahun lalu.


“Saya boleh menasihati penjaja supaya mengekalkan harga makanan di bazar Ramadan nanti, tetapi mereka juga tidak sanggup tanggung rugi. Selain itu, apa yang lebih membimbangkan kami apabila kadar sewa tapak dinaikkan lagi tahun ini sehingga maksimum RM2,000.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.