Ticker

6/recent/ticker-posts

Tiada lagi warga asing bekerja di Pasar Borong KL, kata DBKL

 


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pemantauan harian bagi memastikan tiada warga asing bekerja atau berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).


Unit Media DBKL memberitahu, penguatkuasaan itu selari dengan syarat ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar Borong (WPKL) 2002 bahawa warga asing tidak dibenarkan berniaga atau bekerja di dalam PBKL.


Menurut DBKL, pihaknya juga telah membekukan permohonan lesen baharu bagi premis perniagaan di sekitar Pusat Bandar Utara bagi mengawal aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.


"Tindakan penguatkuasaan oleh DBKL sering dilaksanakan terhadap premis-premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di Pusat Bandar Utara.


"Tindakan kompaun serta surat tunjuk sebab terhadap pemegang lesen yang mengambil pembantu atau pekerja bukan warganegara tanpa permit kerja yang sah turut dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.



Menurut DBKL lagi, pemantauan secara harian yang dilakukan mendapati tiada pembantu atau pekerja bukan warganegara yang dilantik oleh pemegang lesen di PBKL.


Jelasnya, warga asing yang masuk ke PBKL merupakan pekerja kepada pembeli atau pembekal yang berurusan dengan pemegang lesen di pasar borong terbabit.


Sementara di Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur katanya, bangunan itu baru beroperasi pada Jun lepas dan pemantauan secara harian mendapati tiada pekerja atau pembantu bukan warganegara di pasar tersebut.


Bagaimanapun katanya, bagi premis-premis perniagaan yang berlesen di sekitar Pusat Bandar Utara adalah dibenarkan untuk melantik pekerja bukan warganegara sekiranya individu tersebut mempunyai permit kerja yang sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia.


Katanya, sebanyak 4,636 kompaun meliputi 1,289 notis kompaun di dalam PBKL dan 3,347 kompaun di luar PBKL dikeluarkan DBKL menerusi tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di lokasi tersebut pada tahun lalu.



"Pada tahun sama, sebanyak 16 premis turut ditutup kerana meIanggar syarat lesen.


"Bagi penguatkuasaan pada tahun ini sebanyak 106 kompaun dikeluarkan di PBKL dan sekitarnya setakat Januari lalu atas kesalahan menggajikan pekerja asing," katanya.


Pada Isnin, Bernama melaporkan PBKL dan Pasar Harian Selayang mula menjadi tumpuan warga asing mencari rezeki menjalankan perniagaan secara haram.


Kelibat warga asing dilihat menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barang basah di Pasar Harian Selayang selain di deretan bangunan kedai dua tingkat berdekatan PBKL pula seolah-olah telah menjadi ‘perkampungan’ mereka.

Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments