Ticker

6/recent/ticker-posts

Apa sebenarnya dah jadi dengan Kuala Lumpur sekarang?

 


SAUDARA PENGARANG,


APA sudah jadi dengan Kuala Lumpur? Sana sini kita boleh melihat warga asing berniaga secara terang-terangan.


Operasi penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti banyak tertumpu di Pasar Borong Selayang tetapi kurang atau tiada di Jalan Silang, Chinatown, Pudu dan Bukit Bintang yang nampaknya sudah menjadi macam wilayah Bangladesh dan Myanmar. Malah, peniaga warga Indonesia dan Pakistan pula seperti memonopoli sekitar Chow Kit.


Ingat lagi ketika zaman Tan Sri Annuar Musa menjawat jawatan Menteri Wilayah, ketika itu, penguat kuasa DBKL agresif membuat operasi di lokasi warga asing berniaga. Semua tempat mereka terjah. Sebenarnya memang boleh buat jika ada keseriusan.


Pembuat dasar mengenai sosioekonomi tidak sedarkah bahawa peniaga-peniaga tempatan teutama bangsa Melayu di ibu kota berniaga di bawah payung di tepi jalan manakala warga asing seperti Bangladesh dan Pakistan mampu membuka kedai sendiri, malah mampu menyewa lot dalam kompleks beli belah seperti di Plaza Low Yat dan Kenanga Wholesale? Lebih hebat ada yang mempunyai cawangan pasar raya di beberapa lokasi.


Justeru, saya sarankan agar pengurusan tertinggi DBKL turun padang dan melihat sendiri suasana Kuala Lumpur di lokasi yang disebut terutama ketika hari Ahad dan cuti umum. Keadaan di sana sudah berubah wajah sama sekali.


Pengunjung warga asing berkerumun seperti semut di kedai-kedai milik rakyat sebangsa. Pelancong asing yang pertama kali ke Kuala Lumpur pun naik hairan tengok suasana di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang tidak ubah seperti Dhaka dan Yangon.


Inikah imej ibu negara Malaysia yang hendak ditunjuk pada orang luar? Jabatan Imigresen juga perlu menyiasat bagaimana warga asing yang asalnya masuk sebagai buruh tetapi kini menguasai sektor perniagaan. Sementara rakyat kita pula sampai ke tahap meminta kerja dengan warga asing.


Peniaga dan pekerja asing sudah menjadi isu yang jauh lebih besar daripada masalah pendatang tanpa izin (PATI) ekoran warga asing menguasai ekonomi negara ini sedangkan rakyat sendiri susah sehingga mereka terpaksa memohon bantuan daripada kerajaan.


Mohon juga Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil berat isu ini kerana bumi yang dipijak kini betul-betul menjadi milik orang akibat kealpaan kita. -UTUSAN


PEMERHATI

Kuala Lumpur

Post a Comment

0 Comments