Ticker

6/recent/ticker-posts

Pemakaian Pelakon Bertepatan Dengan Cara Pemakaian Di Pulau, kata Penerbit Pulau

 


Syarikat penerbit Pulau, WebTVAsia berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina atau menyinggung perasaan sesiapa susulan tercetus kontroversi membabitkan babak ‘panas’ dalam filem itu.


Pengasasnya, Fred Chong berkata, tidak wajar untuk menghukum filem itu hanya berdasarkan klip promosi yang dipaparkan.


“Apa yang dilihat melalui trailer tersebut cuma satu peratus daripada keseluruhan kandungan filem.


“Jadi saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh yang bakal keluar pada 9 Mac ini,” katanya kepada Malaysiakini.


Mengulas isu pakaian mencolok mata, Chong berkata, trend pemakaian itu sama seperti mana-mana individu yang pergi bercuti ke pulau. 


“Pemakaian pelakon pula adalah bertepatan dengan cara pemakaian di pulau,” katanya.



Terdahulu, Pulau mencetus perasaan tidak puas hati beberapa pihak, termasuk pemimpin PAS, selepas tular trailer rasmi naskhah berkenaan yang didakwa mempunyai unsur luucah dan ‘soft p0orn’.


Mereka antaranya mempersoal bagaimana filem seperti itu mampu melepasi saringan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana mengandungi kandungan yang didakwa tidak bersesuaian seperti watak lelaki tidak berbaju, wanita berbikini serta babak berpelukan.


Bekas timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary turut menyifatkannya sebagai ‘luucah’ dan menyindir pemimpin kerajaan kerana berdiam diri.


GSC sebelum itu memuat naik trailer Pulau ke Youtube.


Menurut rangkaian panggung wayang itu, filem mendapat arahan Euho itu berkisarkan  percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil. 


Terjumpa sebuah perkampungan terbiar, mereka secara tidak sengaja mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan semangat jahat yang terperangkap.


Trailer sama dimuat naik oleh syarikat pemasaran dan jaringan hiburan WebTV Asia beberapa hari sebelum itu.



Filem itu dijayakan barisan pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Namron dan model Ms Puiyi.


Pulau antara lain turut mendapat kritikan selepas mengeluarkan poster terawal mereka yang dilihat dilihat mirip dengan filem Hollywood iaitu Fantasy Island. 


Sementara itu, Chong yang juga Penerbit Eksekutif filem itu berkata, Pulau diberi klasifikasi PG13 oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) pada Ogos tahun lalu.


Malah katanya, pihaknya telah menuruti syarat LPF dengan membuat empat pemotongan daripada filem berkenaan.



“Promosi filem seperti trailer, poster malah kandungan Pulau sendiri telah melalui proses pemerhatian lanjut daripada LPF termasuklah senarai wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).


“Semua empat babak yang sepatutnya dipotong telah pun dipatuhi daripada pihak kami, kami yakin pada ketelusan proses dan profesionalisme pihak LPF. 


“Filem Pulau telah diklasifikasikan sebagai PG13 dan kami hormati keputusan LPF,” katanya.

Sumber : MalaysiaKini

Post a Comment

0 Comments