Sambutan ulang tahun perkahwinan kesembilan pasangan sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, esok kehilangan makna kerana kemelut rumah tangga mereka yang bermula tiga tahun lalu tidak kunjung berakhir.
Kesukaran semakin bertambah apabila Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah dengan alasan ingin berdamai dan masih berharap masalah rumah tangga dapat diselesaikan.
Puteri Sarah mengungkapkan rasa kecewa dengan keputusan Syamsul dan terus menekankan agar dia dibebaskan.
"Lepaskan sahaja saya. Sudah ada isteri baharu dan tak mengambil endah pasal saya, kenapa tiba-tiba baru hari ini nak tersedar? Saya memang tak nak.
"Kalau baru hari ini nak tersedar yang akan kehilangan isteri, sudah terlambat. Perbincangan sepatutnya berlaku tiga tahun lepas.
"Saya hanya mahu dilepaskan dan ingin meneruskan kehidupan baharu. Saya sudah tidak ada perasaan lagi terhadapnya," katanya ketika ditemui selepas sebutan kes tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pagi tadi.
Dalam pada itu, pelakon drama rantaian Aku Seorang Perempuan ini pelik dengan keputusan Syamsul untuk tidak melafazkan talak, sedangkan sepanjang tiga tahun pergolakan rumah tangga, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
"Kita sudah lama tidak seperti suami isteri. Dia juga sudah tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
"Dia sepatutnya terkejut dengan tindakannya sendiri yang secara tiba-tiba tak mahu bercerai.
"Kita semua mengharapkan semuanya selesai (bercerai)," ungkapnya.
Ditanya reaksinya ketika bertemu suami buat kali pertama selepas setahun dalam kamar mahkamah, Puteri Sarah menjelaskan, perasaannya kosong dan tidak mahu ambil peduli kewujudan Syamsul.
"Rasa biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa. Saya tak pandang pun, tak tahu dia tengok saya atau sebaliknya.
"Saya hanya mahu terus pandang ke depan. Dah la, bye-bye," katanya lagi.
Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul, telah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kedua-dua pihak hadir di mahkamah tersebut.
Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Syamsul hadir bersama peguam syarie, Roshdan Sujak.
Puteri Sarah telah memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Alasan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan wujud perbalahan berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
Pasangan ini menikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua orang anak, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
0 Comments