abatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menyiasat video yang memaparkan dakwaan solat Jumaat bersama bunian membabitkan seorang pendakwah terkenal, baru-baru ini.
Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Ghani Zainudin berkata pihaknya akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan.
"Kita maklum tentang penularan video itu dan dakwaan pendakwah berkenaan solat Jumaat bersama bunian yang didakwa dilakukan seorang agamawan ketika hayatnya," katanya dihubungi hari ini.
Abd Ghani berkata JHEAIK kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Mufti Kedah untuk merangka tindakan yang bersesuaian dalam menangani isu berkenaan.
Beliau turut menasihatkan semua pendakwah supaya berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam.
"Kita juga berharap semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkaitan menyiasat isu ini termasuk mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran ramai di media sosial," katanya.
Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis berserta kapsyen 'Kisah Paksu Mid Solat Jumaat Bersama Bunian di Tengah Laut'. Video itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet.
0 Comments