Ticker

6/recent/ticker-posts

Suami Isteri Dipenjara Sehari, Denda RM400 Gara-gara Mencuri Di Pasar Raya

 


Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan termasuk minuman keras dari sebuah pasar raya di Cheng dua tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Azman Tengku Jalal, 46, dan Siti Nurulaini Johari, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Afiqah Radiah Zainurin pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan didakwa bersama-sama mencuri pelbagai barangan termasuk 12 unit WC precut seberat 1.666 gram, lima ekor ikan cencaru, dua jenis deodoran, kicap dan empat tin minuman keras bernilai keseluruhan RM70.69.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 September 2023, kira-kira jam 6.30 petang di pasar raya Lotus Cheng di Taman Paya Rumput Utama dalam daerah Melaka Tengah.

Pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili mereka, Amritpal Singh merayu agar hukuman diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertama pasangan itu.

Amritpal dalam hujahannya turut memberitahu bahawa Siti Nurulaini tidak bekerja dan menghidap sakit buah pinggang, manakala suaminya bekerja sebagai penghantar barang bagi menyara keluarga termasuk tiga anak.

“Kejadian berlaku akibat tekanan ekonomi dan barangan yang dicuri adalah keperluan asas. Tertuduh juga telah insaf dan memohon hukuman rendah,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM400 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments