Ticker

6/recent/ticker-posts

Di mana silapnya Silat Melayu yang digeruni sehingga kehilangan taringnya?

“Aku dah 5 tahun bersilat, tapi bila bergaduh jadi koboi jugak. Buah silat hilang entah kemana” Kata pesilat wakil sekolah kepada rakan seperguruannya. Beliau sudah lengkap pengajiannya sehingga ke bengkung hitam dan menyandang beberapa pingat persembahan silat namun masih gagal mempraktikkan silat dalam situasi sebenar.

Di mana silapnya sehinggakan Silat Melayu yang digeruni kehilangan taringnya bila berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar? Silat hanya menjadi persembahan di gelanggang dan buah-buah silat hanya nampak gah apabila dipraktis bila berdemo bersama rakan-rakan seperguruan. Apabila berlawan hilang silatnya. Di mana silapnya?

Di mana silapnya Silat Melayu yang digeruni sehingga kehilangan taringnya?

Sistem pembelajaran silat sekarang telah jauh dari keasliannya. Kalau zaman dahulu anak murid apabila balik dari mengaji silat, badan mereka lebam-lebam dan calar balar menjadi perkara biasa. Sekarang ibu bapa takut anak-anak mereka cedera. Ilmu silat sekarang telah “dilembutkan” sesuai dengan kondisi remaja zaman sekarang yang kurang daya tahan lasaknya. Dan akhirnya pengajian silat telah disunting dan hanya bersifat kesenian dan persembahan semata-mata, asal lengkap bengkung dikira hebat. Akhirnya Pencak Silat itu diperlekehkan kerana jika dibandingkan dengan seni beladiri import yang jauh lebih efektif seperti Tomoi, karate dan Teakwondo.

“Alah, buat apa belajar silat, pandai berbunga-bunga ja. Bukan boleh berlawan pun” selalu kita dengar ungkapan ini dan ada juga kebenarannya.

1. Kesilapan jurulatih

Silat diperkenalkan di sekolah-sekolah dan IPT sebagai kegiatan aktiviti kokurikulum dan kelab sukan. Sistem pembelajaran silat telah diubah suai sejajar dengan permintaan sekolah-sekolah yang inginkan kokurikulum yang sihat dan tidak terlalu lasak sehingga mencederakan murid-murid. Murid dilatih dengan lembut hanya sekadar menguasai asas seni dan peralihan bengkung untuk melengkapkan silibus pembelajarannya.

Kesimpulannya silat kehilangan asas kesempurnaannya dalam aspek beladiri. Dalam keadaan pergaduhan atau situasi kecemasan ilmu silat gagal dilaksanakan. Silibus pembelajaran silat tidak menekankan aspek sebenar seperti sparring dan jurus. Latihan lebih ditekankan kepada hafalan buah silat.

Di Mana Silapnya Silat Melayu?

2. Membuka minda terhadap kemungkinan serangan pelbagai bentuk

Pernahkah anda terfikir jika anda diserang oleh ahli beladiri lain seperti Tomoi contohnya. Mampukah anda menahan tumbukan, siku dan sepakan mereka. Pernahkan anda belajar sambut sepakan Round Kick ke leher? Pernahkah anda terima tumbukan Jab dari Peninju?

Jika anda berlatih sesama perguruan, anda akan belajar kaedah menyerang dan menyambut serangan yang sama. Jarang sekali anda belajar terima serangan yang berbeza. Contohnya pesilat belajar tumbuk kaedah A kemudian belajar pula tangkis tumbuk kaedah A. Jika pihak lawan tumbuk keadaan B, C atau D yang berbeza, Ha! bagaimana nak sambut?

3. Biasakan sparring dengan ahli beladiri lain

Berlatih dengan ahli beladiri lain membantu anda membiasakan diri dengan kepelbagaian serangan. Dengan cara ini anda mampu kembangkan kaedah berhadapan dengan pelbagai kemungkinan serangan dari pelbagai jenis seni beladiri. Terdapat beberapa silat yang mengembangkan kaedah ini dan menyertai pertandingan seni beladiri terbuka seperti MMA, Kickboxing dan UFC.

Jangan rasa rendah diri dengan kekuatan silat berhadapan dengan seni beladiri lain. Silat telah dibuktikan sebagai seni beladiri yang praktikal dan berkembang dengan pesat di Eropah sekarang. Pesilat berbangsa eropah giat mengembangkan silat sejajar dengan kepelbagaian seni beladiri. Buah-buah silat digunakan oleh unit-unit pertahanan awam di rantau itu. Sedangkan silat di tanah air ini menjadi jumud, pegun dan mundur tidak dikembangkan. Yakinlah silat boleh berhadapan dengan Boxing, Tomoy, Taekwondo, MMA, Karate, Judo dan sebagainya anda hanya perlu membuka minda dan menerima perubahan ini.

Di Mana Silapnya Silat Melayu?

4. Lupakan buah-buah mengarut itu

Banyak buah-buah silat hanya hebat dipandang apabila ia dipersembahkan melalui demo di atas pentas.

Dalam latihan buah silat, anak murid disuruh berlatih secara berpasangan. Apabila menyerang, jurulatih ajar supaya salah seorang menyerang dengan satu TUMBUKAN KAKU, dan seorang lagi sambut dengan buah silat dan dijatuhkan dengan mudahnya. Penumbuk tidak boleh ditarik atau diperbagaikan jika tidak buah gagal dilaksanakan. Yang lucunya, adakah dalam situasi sebenar pihak lawan akan menumbuk dengan begitu kaku dan menunggu untuk dijatuhkan?

5. Naluri Semata-Mata

Cuba kita lihat kucing bergaduh. Gerak mereka diasaskan oleh naluri semata-mata. Begitulah gerak silat yang sebati dengan gerak naluri (instict) manusia. Bukannya buah yang disusun-susun dengan kakunya. Tumbukan, tepisan sepakan dilakukan dengan spontan tanpa tergak-agak. Asal boleh masuk kita masuk,.asal boleh makan, kita makan.

Dengan latihan Bunga dan Belebat atau Jurus pesilat dapat melatih naluri supaya dalam situasi sebenar silat akan terbentuk dengan sendirinya kerana pesilat telah sebati denga silatnya. Seperti sebuah pepatah silat: “Pakai takpakai, takpakai pakai. Selagi pakai, selagi itulah tak pakai”.

Oleh : Tuan Melaka

Post a Comment

0 Comments