Ticker

6/recent/ticker-posts

Siapa Sebenarnya Sarjan Hassan?

Watak Sarjan Hassan lakonan seniman agung P Ramlee dalam filem Sarjan Hassan yang ditayangkan pada 28 Ogos 1958, bukanlah rekaan semata-mata malah ia adalah kisah benar seorang pahlawan negara yang telah banyak berjasa kepada tanah air. Malah ia juga pernah diceritakan di dalam novel sekolah menengah tingkatan 2 bertajuk “Kapten Hassan Wira Bangsa”. 

Walaubagaimanapun kisah yang dipaparkan dalam filem itu bukanlah kisah sebenar yang berlaku pada Sarjan Hassan yang kami akan ceritakan pada kali ini tetapi semangat juang yang ditonjolkan pada filem itu, memang watak sebenar yang ada pada diri beliau.

Mengikut cerita sebenar, Sarjan Hassan dianggap patriot terbilang yang pernah dilahirkan Askar Melayu kerana kejayaannya membunuh 11 anggota komunis ketika menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953.

Nama sebenarnya ialah Hassan bin Haji Osman. Beliau dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, tidak jauh dari Seremban, Negeri Sembilan dan berkelulusan darjah lima Sekolah Melayu. Allahyarham Sarjan Hassan memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan tentera pada 21 Disember 1946 sebagai rekrut Askar Melayu dan menjalani latihan di Port Dickson selepas berlaku satu pembunuhan kejam oleh komunis terhadap isteri dan beberapa ahli keluarganya.

Kisah mengenai kehidupan sebenar serta latar belakang Sarjan Hassan ini boleh anda lihat di Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Berdasarkan sejarah hidup Sarjan Hassan yang dipamerkan di muzium ini, selepas beliau menamatkan latihan rekrut pada 10 Jun 1947, Sarjan Hassan menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu dan dilantik menjadi Lans Koperal pada 28 April 1948 sebelum bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat Koperal pada 24 Oktober 1950.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Kesungguhannya yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan membolehkan pejuang itu dinaikkan pangkat Sarjan mulai 1 September 1952 dan terus mencurahkan bakti kepada Batalion Keempat yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.

Kompeninya ditugaskan beroperasi di kawasan Triang, Pahang, bermula pada 16 November 1953 dengan Allahyarham dilantik mengetuai pasukan rondaan mengandungi sembilan anggota selepas menerima arahan daripada Pegawai Memerintah.

Satu daripada kisah keberaniannya adalah ketika diarahkan mengetuai pasukannya menyiasat bunyi tembakan yang didengar dari arah barat daya satu kawasan hutan di Triang. Selepas satu jam meninggalkan pangkalan, peninjau kumpulan ronda mendengar bunyi pokok ditebang, lantas Sarjan Hassan memerintahkan pasukannya merangkak ke hadapan dalam barisan menghala ke arah bunyi potongan pokok berkenaan.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Dalam jarak kira-kira 150 meter dari bunyi potongan itu, Allahyarham menghentikan pergerakan anggota ronda dan memerintahkan seorang pegawai tidak bertauliah dalam platunnya membentuk satu kedudukan serang hendap.

Sarjan Hassan membawa seorang anggota berpangkat prebet mengikuti di sebelah kanan sasaran bagi membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati beberapa pengganas komunis sedang sibuk membuat persiapan untuk mendirikan khemah.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyerang pasukan pengganas berkenaan bersama anggota prebet terbabit dari arah strategik, yang akan membolehkan pengganas ditawan atau ditembak oleh anggota pasukannya yang lain jika melarikan diri.

Bagaimanapun, kehadiran beliau bersama prebet berkenaan disedari seorang pengganas yang terus mensasarkan laras senapangnya ke arah mereka, tetapi Allahyarham lebih pantas melepaskan tembakan yang berjaya membunuh pengganas terbabit.

Seorang lagi pengganas juga berjaya dibunuh Sarjan Hassan, manakala dua rakan mereka melarikan diri ke arah kedudukan kumpulan serang hendap dan menerima nasib yang sama di tangan anggota kumpulan platun pimpinan Allahyarham.

Sarjan Hassan menunjukkan keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan menyerang perkhemahan pengganas walaupun hanya disertai seorang anggotanya. Kemahiran menggunakan senjata dengan baik memberikan kelebihan kepada beliau ketika berdepan saat cemas dan kecekapan itu berjaya menyelamatkan nyawa seorang anggota lain.

Kejayaan berkenaan dicapai melalui ketenangan dan kepantasan bertindak serta perhitungan muslihat yang tepat dan bijak di samping kemahirannya menguasai suasana hutan tebal yang cukup tinggi.Kelebihan itu membolehkan Sarjan Hassan mendedahkan semua empat pengganas yang ditemuinya dan menentukan mereka tidak terlepas daripada kumpulan rondaannya.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Dinaikkan pangkat Leftenan Muda pada 1957

Mengikut maklumat yang dipamerkan di Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat, Sarjan Hassan pernah menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953 dan secara peribadi dikatakan berjaya membunuh 11 pengganas.

Bagaimanapun, ada juga maklumat mengatakan beliau berjaya membunuh 54 anggota Bintang Tiga sepanjang perkhidmatannya dan atas kecemerlangan itu, Sarjan Hassan disokong Pegawai Memerintah Batalion, Leftenan Kol EA Hefford dianugerahkan Military Medal (MM) pada 30 Disember 1953.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Beliau menerima pengiktirafan itu apabila Ratu melalui London Gazette menganugerahkan MM kepada Sarjan Hassan pada 12 Mac 1954 yang disampaikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur.

Selain MM, Sarjan Hassan juga dianugerahkan General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada 1950 dan 1952 kerana keberaniannya ketika berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu menjalankan operasi

Di atas kejayaan dan kecemerlangannya itu, beliau terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson mulai 10 Jun 1957 dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos tahun berkenaan.

Allahyarham juga dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 selepas berkhidmat selama 16 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten.

Bagaimana Allahyraham P.Ramlee Tertarik Untuk Menjadikannya Filem?

Sarjan Hassan juga mempunyai kebolehan di dalam bidang penulisan. Beliau telah menulis skrip kisah perjuangan anggota tentera pada zaman darurat. Skrip ini telah dipentaskan dan ia berdasarkan kisah hidup Sarjan Hassan sebagai seorang tentera. Drama pentas yang diarahkan oleh Sarjan Hassan mendapat sambutan sehinggakan ia mendapat liputan akhbar dan berjaya menarik minat P.Ramlee untuk menjadikannya sebuah filem.

P.Ramlee telah bertemu dengan Sarjan Hassan bagi mendapatkan persetujuan untuk menjadikan drama pentas tersebut kepada filem dan beliau bersetuju dengan cadangan P.Ramlee. Cuma skrip tersebut terpaksa diubah dengan tidak menceritakan perjuangan Sarjan Hassan menentang komunis sebaliknya menceritakan mengenai suasana Tanah Melayu ketika menghadapi penjajahan Jepun. Tindakan P.Ramlee yang mengubah cerita asal ini bertujuan mengelakkan filem ini disabotaj oleh komunis. Ini kerana pada masa itu, Tanah Melayu masih berada dalam keadaan darurat dan diancam oleh komunis.

Siapakah Sarjan Hassan Sebenarnya?

Hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya, Aishah Bujang yang dikatakan berasal dari Kampung Rasah yang dikahwini pada 20 Januari 1952, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, empat lelaki dan empat perempuan.

Pejuang negara ini menghembuskan nafas terakhir pada 30 April 1991 akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, tetapi usaha menjejak makamnya juga menemui jalan buntu. Antara anugerah lain yang diperoleh beliau ialah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).

Sumber : Mohd Amin Jalil , Pameran “Sarjan Hassan Pahlawan Terbilang”/Orang Nogori

Post a Comment

0 Comments