Ticker

6/recent/ticker-posts

2 juta ahli KWSP layak keluar MAKSIMA 10 peratus daripada Akaun 1

 


Akhirnya selepas didesak bermacam-macam pihak, mungkin ini berita yang dinantikan oleh semua rakyat terutamanya mereka yang terkesan kerana pandemik C0VID-19.Sebanyak 2 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka layak membuat pengeluaran Akaun 1 di bawah program i-Sinar yang skopnya kini diperluaskan merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.


Dianggarkan sejumlah RM14 bilion tersedia untuk ahli-ahli yang layak dan permohonan boleh dibuat bermula bulan depan (Disember).

KWSP dalam kenyataannya memberitahu, amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

“Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” kata KWSP.




Memperincikan kemudahan tersebut, KWSP berkata, secara umumnya ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.


Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1), akan mempunyai akses 10%. Walau bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan di mana caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.


Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.


Untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).



Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Post a Comment

0 Comments