Ticker

6/recent/ticker-posts

Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat, hanya kriteria untuk pastikan permohonan selari dengan data KWSP

 



Selepas keputusan dari kerajaan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan duit dari acc 1 mereka, ianya adalah satu keputusan yang menggembirakan mereka yang terkesan dek pandemik C0VID-19, namun ada yang mengeluh kerana dikatakan ianya adalah bersyarat.Bagaimana pun pihak KWSP tampil menjelaskan perkara sebenar untuk mengelakkan salah faham kepada semua.

Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang dicirikan hanya kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


KWSP dalam satu maklum balas yang dikeluarkan hari ini menjelaskan bahawa ini adalah untuk membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.


"Proses pengesahan diperlukan untuk mengelakkan penipuan dan pengeluaran i-Sinar secara tidak sah oleh pihak ketiga.


"Ahli yang memenuhi kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik. Permohonan ahli yang dibuat dalam talian hanya memerlukan pengesahan amaun maksimum saja dan tidak susah atau sukar," kata dana pencen itu.


Ia juga berkata oleh kerana setiap situasi ahli adalah unik, Kategori 2 memberi ruang kepada KWSP mempertimbangkan situasi ahli berdasarkan dokumen sokongan yang boleh dipohon secara dalam talian.



Mengenai mengapa KWSP tidak memberi kelulusan automatik i-Sinar kepada mereka yang sudah memohon i-Lestari, ia berkata, situasi ketika KWSP melancarkan i-Lestari dan i-Sinar sangat berbeza, negara berada dalam situasi yang berlainan pada ketika itu dan pada masa sekarang.


"Bagaimanapun, KWSP memahami bahawa situasi ekonomi berbeza bagi ahli bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri dan i-Sinar tersedia untuk membantu ahli-ahli itu," katanya.


Bagi individu yang gusar tidak dapat memohon kerana tidak mengalami pengurangan gaji sebanyak 30 peratus, KWSP berkata, masih ada ruang di bawah Kategori 2 untuk mempertimbangkan permohonan ahli yang terkesan.


"Sekiranya ahli mengalami pengurangan pendapatan atau gaji dan mempunyai dokumen sokongan sebagai bukti, ahli digalakkan untuk memohon pada 11 Januari 2021. KWSP akan mempertimbangkan permohonan berkenaan.


"Ini untuk memastikan pintu tidak tertutup dan memberi peluang untuk seramai ahli yang mungkin untuk memohon i-Sinar, yang dianggarkan sehingga lapan juta pemohon," katanya.



Bagi pengeluaran berperingkat untuk enam bulan yang dinyatakan, KWSP menjelaskan bahawa ia adalah untuk memastikan ahli dibantu untuk tempoh selama yang mungkin dan memahami bahawa bulan pertama adalah penting untuk ahli membayar tanggungan dan perbelanjaan awal tahun seperti persekolahan anak dan lain-lain.


"Oleh itu, pendekatan secara berperingkat adalah berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu data semasa tanggungan ahli KWSP, perlunya memanjangkan tempoh bantuan kerana ketidaktentuan tempoh penularan pandemik Covid-19; dan mengimbangi aliran tunai dan struktur pelaburan sedia ada KWSP," katanya.


Bagi permohonan Kategori 1, KWSP sudah mempercepatkan proses permohonan melalui kelulusan automatik menggunakan data dalaman di mana dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada pertengahan Januari 2021.


"Untuk mereka dalam Kategori 2, KWSP menganggarkan masa pemprosesan antara dua hingga tiga minggu daripada tarikh permohonan, untuk membolehkan pengesahan dokumen dan pertimbangan kes demi kes. Dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada akhir Februari," katanya.

Penafian : Gambar yang digunakan hanyalah hiasan semata-mata

Sumber : metro

Post a Comment

0 Comments