Ticker

6/recent/ticker-posts

Usahawan daging import halal bongkar sindiket seludup wagyu dalam kontena babi

 


Menyeludup daging wagyu yang tidak mempunyai sijil halal bersama kontena yang diisytiharkan mengandungi daging babi antara taktik dipercayai turut digunakan kartel daging import di Malaysia.



Tindakan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa untuk membawa masuk daging haram ke Malaysia sebelum membungkus semula serta meletakkan logo halal yang tidak sah.


Perkara itu turut diakui seorang usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah yang terlibat dalam industri pengedaran daging halal wagyu dari Jepun sejak hampir empat tahun lalu.


“Ada sindik3t yang sama seperti kartel. Mereka membawa masuk daging tanpa melalui proses pensijilan halal dan (kebenaran) kastam.


“Modus operandi mereka ialah mengisytiharkan kontena yang dibawa. Contohnya mereka membawa daging itu dengan daging babi.


“(Kalau) Satu kontena itu boleh muat daging sehingga 15 tan, jadi lima tan mereka akan bawa (daging wagyu) yang seludup.


“Kita tidak kata kastam tidak buat kerja tapi sukar untuk mereka periksa nombor kontena yang dibawa itu (apabila isytihar daging babi tetapi di dalamnya turut mengandungi daging wagyu),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.


Menurutnya, siasatan yang dilakukan sendiri ke atas pembekal daging wagyu yang menjual secara dalam talian juga mendapati kebanyakan penjual tidak mempunyai sijil halal.


Mohd Hafis berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan daging wagyu yang dibawa masuk itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh kerajaan atau dalam bahasa mudahnya, seludup.

 

“Ada pembekal dalam talian yang memang tidak ada sijil halal yang kita dah dapat buktikan. Bila kita tanya ada sijil halal atau tidak, dia jawab tidak ada.


“Ada individu yang kita tanya mengakui ada (sijil halal). Kononnya dia ambil (stok daging) dari rumah semb3lihan di Jepun yang ada sijil halal tetapi kita tidak tahu dia bawa masuk macam sama ada dengan daging babi atau bagaimana,” katanya.


Jelasnya, situasi itu mencetuskan kebimbangan besar kepada syarikat yang diusahakannya kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya orang Islam.


Sijil halal ditiru


Jelas Mohd Hafis, selaku satu-satunya syarikat pengimport daging wagyu di Malaysia yang mempunyai sijil halal loji pemprosesan produk campuran daripada Muslim Professional Japan Association (MPJA) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), aspek halal dan haram produk yang di bawa masuk ialah sangat penting.


Katanya, syarikatnya turut berdepan dengan isu sijil halal yang ditiru secara tidak sah oleh pengedar yang tidak bertanggungjawab.


“Ada pembekal yang tidak bertanggungjawab meniru sijil halal dan memanipulasi sijil halal yang kita peroleh semata-mata untuk mengaut keuntungan.


“Jadi, kita harap pihak berkuasa khususnya kerajaan memandang serius isu daging seludup itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada orang Islam tetapi turut menjejaskan perniagaan pembekal daging import halal dan sah yang lain,” katanya.


Dalam pada itu, Mohd Hafis mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya tidak membeli daging import termasuk wagyu yang dijual dengan harga yang begitu rendah di pasaran.


Katanya, ia berkemungkinan daging yang dijual itu diseludup dan tidak mendapat pengiktirafan halal.

 

“Bagi daging wagyu, kita sedia maklum harganya mahal iaitu antara RM800 sehingga RM2,000 sekilo mengikut jenis. Jadi kalu ia dijual dengan harga terlalu murah, sangat tidak masuk akal,” katanya.


Selain itu, katanya, daging wagyu halal dan sah ada disertakan dengan sijil keaslian oleh MPJA kepada pembekal yang membelinya di pusat semb3lihan yang diiktiraf.


Tiga cadangan elak insiden daging seludup berulang:


Syarikat harus 100 peratus bumiputera.


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (kastam) perlu mempunyai unit pemantau halal khusus untuk memeriksa makanan di pintu masuk negara.


Kerajaan perlu fokus tingkatkan industri perladangan lembu bagi mengelak daripada terlalu bergantung kepada daging import.

Sumber dari : Nurul Huda Husain via Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments