Ticker

6/recent/ticker-posts

3.7 juta penyumbang KWSP miliki simpanan tak sampai RM5,000


 Hanya seramai kira-kira 8.7 juta pendeposit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pengeluaran i-Citra sehingga RM5,000 kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.


Menurut Zafrul pada masa sama ada 3.7 juta penyimpan KWSP yang lain layak membuat pengeluaran melalui program baru diperkenalkan kerajaan itu namun baki simpanan mereka dalam akaun tidak sampai pun RM5,000.


Katanya secara keseluruhan ada 12.4 juta pendeposit KWSP layak membuat pengeluaran i-Citra.


"Daripada jumlah itu hanya 8.7 juta itu ada simpanan yang cukup manakala 3.7 juta lagi ada simpanan kurang daripada RM5,000.



"Maka mereka hanya boleh keluarkan apa yang ada dalam akaun masing-masing," katanya pada sidang media hari ini.


Terdahulu senator itu ditanya media mengenai kedudukan KWSP selepas kerajaan membenarkan sekali lagi pendeposit mengeluarkan wang mereka ekoran kesan ekonomi dialami akibat wa.bak C0vid-19.


Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan baru bernilai RM150 bilion dikenali sebagai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).


Ia merupakan pakej rangsangan terbesar dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak pakej Prihatin bernilai RM250 bilion diumum Muhyiddin pada Mac tahun lalu iaitu ketika negara melaksanakan kuncitara (lock down) buat pertama kali.


Melalui pakej terkini itu kerajaan membenarkan pendeposit KWSP mengeluarkan simpanan masing-masing sehingga RM5,000 pada kadar RM1,000 sebulan.


Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan dalam satu temu bual berkata, pengeluaran yang dilakukan untuk akaun satu sebelum ini memberi kesan besar kepada agensi terbabit.


Kata Zafrul kerajaan perlu menyeimbangkan keadaan itu dengan keperluan rakyat dan cabaran kewangan dialami orang ramai.


"Hari ini kita berdepan dengan krisis yang besar, maka kita harus lakukan apa yang termampu untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.


Zafrul menambah, kerajaan menganggarkan melalui program i-Citra itu kira-kira RM30 bilion wang akan dikeluarkan orang ramai namun tidak menjangkakan ia akan memberi kesan kepada kecairan pasaran ekuiti dan pasaran bon.

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments