Ticker

6/recent/ticker-posts

Sama ada bijak atau bodoh, jodoh memang sudah tertulis, kata Ara Johari

 


Penyanyi lagu Bunga, Ara Johari, 24, tidak perlu menunjukkan dirinya sebagai 'bodoh-bodoh sikit'' atau kurang cerdik hanya kerana ingin mencari jodoh.


Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, rezeki dan jodoh itu adalah ketentuan Allah dan apabila sudah sampai jodoh seseorang itu, pasti akan jadi kenyataan.


"Saya tak tahu kenapa kita sebagai wanita kena tunjuk tidak cerdik hanya kerana mahu mencari jodoh? Bagi saya, teruskan saja menjadi diri sendiri dan Insya-Allah, adalah jodohnya nanti.


"Sama ada cerdik atau kurang bijak untuk jodoh itu datang lebih cepat atau lambat bukan ukurannya. Semua itu sudah ditetapkan oleh Allah dan percayalah masanya akan tiba juga," katanya.



Ara menjawab untuk pandangannya berkaitan isu video pakar motivasi Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad mengatakan seorang wanita 'biarlah macam bodoh-bodoh sikit' jika mahu cepat mendapat jodoh yang tular hari ini.


Terdahulu, Ara hadir pada sesi sidang media secara virtual untuk single terbaharunya berjudul Tetap Aku Cinta ciptaan Amy Bong, Nahruf dan MFMF serta lirik ditulis Ara dan Amy Bong.


Mengulas juga mengenai penampilannya yang kini semakin feminin berikutan didakwa sedang menyulam cinta, Ara berkata, dia ada berkawan dengan seseorang, tapi hubungan mereka belum ke tahap bercinta dan serius.



"Saya tampil dengan imej lebih feminin sekarang bukan kerana bercinta, tapi di atas saranan rakan baik yang mendorong saya supaya peka terhadap fesyen masa kini yang sesuai.


"Saya pun memang minat dengan fesyen ke arah 'Korean Look' dan terus mencuba. Alhamdulillah, nampaknya sangat sesuai dan peminat juga menerimanya dengan baik," katanya.


Ara yang popular dengan lagu Warkah berkata, dia akan berkongsi berita gembira dirinya jika sudah bertemu calon kekasih idaman dan takkan berahsia dengan peminat.

Sumber artikel : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments