Ticker

6/recent/ticker-posts

Reka bentuk Velodrom Azizulhasni Awang jadi persoalan rakyat

 


Pembinaan velodrom berbasikal di Dungun tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.


Ini kerana pembinaan asal velodrom berharga RM11.8 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022 adalah untuk pembangunan sukan berbasikal negeri dan bukannya untuk penganjuran bertaraf antarabangsa.


Penjelasan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah yang kesal apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.


Tegas Wan Sukairi, tujuan asal pembinaan velodrom berkenaan adalah sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah 'lubuk' pelumba basikal negara.



"Jadi isu velodrom itu dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI untuk pertandingan bertaraf dunia sepatutnya tidak perlu dibangkitkan lebih-lebih lagi projek kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2009 itu hanya membabitkan kos sebanyak RM11.8 juta yang tidak mungkin velodrom bertaraf antarabangsa dapat dibina.


"Bagaimanapun sebelum terbinanya velodrom berkenaan, kita ada memohon agar projek itu dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos yang lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan.



"Jadi kita perlu terima hakikat dan bukannya membangkitkan isu yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni lebih-lebih lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan yang tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu," katanya hari ini.


Ketika ditanya mengenai nama velodrom berkenaan, Wan Sukairi mengakui kerajaan negeri belum lagi meletakkan nama kerana masih belum siap sepenuhnya.


"Nama velodrom itu belum diputuskan lagi kerana belum siap sepenuhnya, tapi memang hasrat kita untuk namakan velodrom itu dengan nama Velodrom Datuk Azizulhasni Awang, kita doakan ianya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi velodrom itu sudah mencapai 90 peratus siap dan dijangka boleh beroperasi awal 2023," katanya.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments