Header Ads

Breaking

Sunday, August 15, 2021

Saya lebih rela musnahkan 6,400 pokok timun yang sedang berbuah daripada terus menanggung kerugian lebih teruk, kata Zulkarnain

 


"Saya lebih rela musnahkan 6,400 pokok timun yang sedang berbuah daripada terus menanggung kerugian lebih teruk.


"Memandangkan harga ladang cuma 20 sen sekilogram, mustahil untuk saya dapat mempertahankan pokok timun yang berbaki lebih dua minggu lagi untuk mengeluarkan hasil," kata pekebun, Zulkarnain Abdul Razak, 48.


Menurutnya, sejak empat tahun mengusahakan timun menerusi kaedah fertigasi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan, di sini, ini kali pertama harganya jatuh terlalu rendah dan tidak disangka.


Katanya, Minggu pertama jualan 30 sen sekilogram selepas itu turun kepada 20 sen sekilogram dan dia hanya sempat menjual beberapa tan sahaja sebelum mengambil keputusan nekad memusnahkan semua 6,400 pokok yang sedang berbuah dengan cara memberhentikan bekalan air siraman.



"Saya rela menanggung kerugian lebih RM5,000 modal pusingan menyediakan benih dan baja termasuk upah pekerja.


"Mustahil untuk mengekalkan tanaman berkenaan sedangkan kos baja sehari hampir RM100.


"Sepatutnya pokok timun saya boleh bertahan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi dan mampu memberi pulangan hasil antara RM7,000 hingga RM9,000 sekiranya harga paling rendah RM1 sekilogram, namun berlaku sebaliknya.


"Episod hitam harga timun begitu murah kali ini berlaku hampir di seluruh negara, ramai pekebun berhadapan dengan kerugian," katanya yang menetap di Taman Indera Sempurna, di sini.


Beliau berkata, sebelum ini pernah berlaku harga timun rendah, tetapi tidak seteruk kali ini apabila buah gred A pada minggu pertama pengeluaran hanya 30 sen sebelum turun lagi kepada 20 sen sekilogram.


Gambar hiasan

Katanya, faktor utama kejatuhan harga timun ialah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 agak panjang menyebabkan banyak pasar borong, pekan sehari dan pasar pagi ditutup.


Rakannya, Che Osman Senik, 58, berkata sebelum ini dia terpaksa membuang lebih 10 tan timun disebabkan tiada permintaan apabila pemborong di Pasar Borong Selayang, Selangor yang menjadi penerima utama sayur tidak lagi berminat.


"Terdapat 12 pekebun di TKPM Inderapura yang mengusahakan tanaman timun dan semua menanggung kerugian serta terpaksa memusnahkan pokok sebelum tiba masanya.


"Kejatuhan harga teruk bukan sahaja berlaku pada timun tetapi membabitkan pelbagai sayur lain dan hari ini saya terpaksa memusnahkan 6,400 pokok peria kerana harganya jatuh 50 sen sekilogram," katanya.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.