Ticker

6/recent/ticker-posts

Keuntungan bersih Astro merosot RM46.52 juta berbanding tahun lepas

 


Astro Malaysia Holdings Bhd merekodkan keuntungan bersih lebih rendah RM87.12 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2021 daripada RM133.64 pada suku sama tahun lalu.


Pendapatannya merosot 2.8 peratus kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.09 bilion sebelumnya, terutama disebabkan penurunan hasil langganan dan jualan produk, namun diimbangi oleh peningkatan perolehan pengiklanan serta penjualan hak program, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan, berkata walaupun keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) merekodkan pertumbuhan 10 peratus pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022, sekatan berterusan dan lonjakan kos kandungan Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta UEFA EURO 2020 memberi kesan kepada PATAMI suku kedua.



"Namun, kami berusaha meneruskan pelan transformasi dan wawasan untuk menjadi agregator nombor satu perkhidmatan penstriman terbaik," katanya.


Mengenai tinjauan, Tan berkata Astro akan menyegarkan semula jenamanya, meneruskan perjalanan transformasi yang merangkumi wawasan untuk menjadi agregator utama perkhidmatan penstriman terbaik serta menambah baik kandungan tempatan dengan menerbitkan lebih banyak kandungan premium Astro Originals.


Selain itu, katanya Astro mengambil peluang daripada perkhidmatan dagang, jalur lebar dan digital selain merealisasikan model perniagaan yang diimaginasi semula serta teknologi dengan ekosistem yang berubah.



"Pandemiik berpanjangan akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia, perusahaan komersial serta dompet pengguna dengan kesannya terhadap pendapatan Astro, terutama dari segi pendapatan pengiklanan, enterpris serta langganan kediaman," katanya.


Namun, beliau berkata syarikat akan terus memantau dan menilai persekitaran perniagaan sambil menguruskan kos secara berhemah bagi menjamin kemampanan operasi dan prestasi perniagaan berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan oleh pandemik.


Astro turut mengisytiharkan dividen interim kedua 1.5 sen sesaham.


-BERNAMA

Post a Comment

0 Comments