Ticker

6/recent/ticker-posts

Ramai rakyat tak cukup duit bila bersara, kata Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


PERTIMBANGAN untuk tidak membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan bermaksud kerajaan tidak mampu, tetapi lebih kepada memastikan keperluan semasa dan jangka panjang adalah seimbang.


Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid (gambar) berkata, beberapa pendedahan yang dibuat oleh KWSP menunjukkan dengan jelas kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi selepas bersara.


"Isunya bukan kerajaan tidak mampu, tetapi lebih kepada berhati-hati kerana apa yang dikongsi oleh pihak KWSP adalah kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaun KWSP mereka.


"Boleh, mahu keluarkan semua (wang), tetapi perlu diingat apabila seseorang itu bersara kemudian hari, bagaimana jika wang itu tidak mencukupi untuk kos sara hidup, siapa pula hendak menanggung, kemampuan ketika itu juga kita tidak pasti," katanya dalam sesi perbincangan Forum Pasca Bajet 2022 secara dalam talian.



Forum tahunan anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (SEFB), bertujuan mengupas bajet yang dibentangkan oleh kerajaan setiap tahun.


Mohd Afzanizam berkata, menurut kajian KWSP, seseorang perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam KWSP untuk bersara berdasarkan faktor umur rakyat Malaysia yang semakin lama semakin panjang dan memerlukan perbelanjaan untuk hari tua.


"Jadi oleh kerana itu, saya rasa ada kekangannya (isu pengeluaran). Pihak KWSP cuba untuk memberikan pendidikan kepada rakyat supaya berhati-hati menggunakan wang terbabit," tambahnya.


Sementara itu, beliau berkata, peruntukan besar iaitu RM332.1 bilion untuk Bajet 2022 dilihat mampu membina daya tahan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing, namun perjalanan ke arah itu memerlukan masa.



"Sebagai ahli ekonomi, peruntukan berkenaan adalah satu peruntukan terbesar dalam sejarah dan kalau kita lihat daripada segi impak kepada ekonomi secara makro, kebiasaannya impak dasar fiskal lebih cepat berbanding dengan dasar monetari yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia.


"Instrumen yang biasa kita dengar kadar dasar semalaman (OPR) yang buat masa sekarang ini OPR berada pada paras terendah iaitu 1.75 peratus, tetapi instrumen terbabit daripada segi impak kepada ekonomi lambat dan mengikut kajian ada yang mengatakan sehingga tempoh 18 bulan, namun mengikut kajian Bank Islam, sekitar 12 bulan," katanya.


Beliau berkata, memandangkan dasar fiskal mempunyai impak yang cepat, ia amat bergantung kepada kecekapan jentera kerajaan dalam menyalurkan insentif atau melaksanakan langkah-langkah yang diumumkan.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments