Ticker

6/recent/ticker-posts

12 IPTA tolak permohonan adik Nur Syakirah walaupun peroleh lima kredit SPM

 


Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 masih menaruh harapan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) meskipun 12 permohonannya untuk mengikuti program pengajian gagal selain rayuannya turut ditolak.


Biarpun pasrah, namun Nur Syakirah Noorazli, 18, tetap setia menunggu dan mengharapkan berlakunya keajaiban untuk membolehkannya melangkah kaki ke menara gading suatu hari nanti.


Akui anak bongsu daripada empat beradik itu, dia bertekad menggenggam segulung ijazah demi mengejar cita-citanya sebagai seorang guru pendidikan awal kanak-kanak.


“Saya mahu mengikut jejak ibu, Roslimi Azali, 49, sebagai guru tadika dan inilah impian saya sejak kecil.


“Saya berasa sedih kerana tiada satu pun daripada 12 program pengajian yang dipohon berjaya atau diterima termasuk rayuan yang dibuat juga gagal.



“Seronok tengok rakan karib dapat melanjutkan pengajian di IPTA, politeknik dan kolej matrikulasi baru-baru ini. Saya percaya, giliran saya pula akan tiba nanti,” katanya yang memperoleh lima kredit dalam keputusan SPM lalu.


Antara program pengajian yang dimohon Nur Syakirah melalui UPUOnline seperti Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak; Diploma Kewangan dan Perbankan Islam; Diploma Kejururawatan, Diploma Undang-undang dan Diploma Pentadbiran Islam.


Dalam pada itu, Nur Syakirah memberitahu, dia kini hanya menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dan sentiasa menyemak permohonan rayuan kemasukan di Universiti Awam (UA) serta politeknik.


“Setiap masa saya membelek maklumat-maklumat berkaitan kemasukan di universiti menerusi telefon bimbit.


“Saya sangat berharap kerajaan memberi peluang dan ruang kepada kami, pelajar lepasan SPM yang belajar dalam suasana pandemik Covid-19. Bantulah kami dan terimalah rayuan kemasukan ke universiti,” tambahnya.



Sementara itu, nasib berbeza dilalui seorang lagi lepasan SPM, Muhammad Aiman Ashraff, 19, yang memilih tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi disebabkan masalah kewangan serta perlu menjaga bapanya yang uzur.


Disebabkan itu tambah Muhammad Aiman, dia memilih untuk terus bekerja demi mendapatkan sesuap nasi bagi menampung kehidupan keluarganya meskipun memperoleh keputusan cemerlang enam A daripada 10 mata pelajaran SPM yang didudukinya.


“Kalau nak sambung belajar sepenuh masa agak susah buat masa ini sebab saya juga kena jaga ayah di rumah.


“Mungkin jika ada rezeki, saya boleh bekerja sambil belajar selepas ini,” katanya.


Tambah Muhammad Aiman yang bekas pelajar di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di sini, dia juga terpaksa menolak untuk melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam atas alasan yang sama.


“Saya yakin peluang untuk saya berjaya masih ada,” katanya yang berhasrat untuk mengikuti kursus kemahiran teknikal jika diberi peluang untuk melanjutkan pengajian selepas ini. 


Sumber : -UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments