Ticker

6/recent/ticker-posts

SmartTAG 10,000 Kali Lebih Pantas Daripada RFID, Kata EFKON

 


EFKON Asia Sdn Bhd, penyedia teknologi bagi sistem kutipan tol Infra-Merah (IR) di lebuh raya Malaysia, berkata sistem yang terbukti itu sedia dan mampu membantu mempercepatkan pelaksanaan sistem aliran bebas trafik berbilang lorong dan membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol.


Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch menegaskan bahawa sistem IR yang menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan unit pembaca tol yang terkenal sebagai SmartTAG mempunyai gabungan pangkalan pelanggan seramai lima juta pengguna dan jumlah ini semakin berkembang.


“Ditambah dengan usaha menaik taraf produk berterusan yang telah meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara, sistem ini menjadi titik persediaan yang ideal dan jauh lebih maju untuk mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) berbanding dengan sistem pembayaran Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang masih baru,” katanya


Blasch menegaskan bahawa pada tahun ini sahaja, dianggarkan 75% daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia sehingga September 2021 telahpun diserahkan kepada pembeli lengkap dengan pembaca tol terbina dalaman atau peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG.


“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa sistem IR terus menikmati keyakinan pengeluar, penjual dan pemilik kenderaan dan telah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif,” tambah beliau lagi.


Berdasarkan maklum balas orang ramai terhadap pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Kerjaraya Malaysia, kebanyakan pengguna lebuh raya jelas lebih mengutamakan kemudahan unggul, kebolehpercayaan yang terbukti dan pengalaman pengguna yang lebih baik yang diberikan oleh sistem IR, yang telah digunakan di negara ini sejak tahun 2005.


Blasch percaya bahawa pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.


“Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuh raya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) telah terbukti sangat berkesan, memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100 km/j. Ia menggunakan teknologi IR yang serupa, seperti di Malaysia, untuk mengesahkan pembayaran. Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia.



Unit serasi SmartTAG kami mematuhi piawaian DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10. Mereka beroperasi dalam jalur 400THz dan, oleh itu, dapat memindahkan data 10,000 kali lebih cepat daripada RFID. Memandangkan dikuasakan bateri, setiap unit aktif dengan masa bangun hanya dua milisaat berbanding RFID pasif 45 milisaat,” jelas beliau.


EFKON Asia telah bekerjasama rapat dengan pengeluar tempatan peranti serasi SmartTAG untuk terus memperkenalkan peningkatan dan menambah baik pengalaman pengguna.


“Bagi pengguna, pembaca tol terbina dalaman yang serasi dengan SmartTAG dikuasakan secara langsung oleh bateri kereta manakala unit mudah alih seperti MaxTAG kini didatangkan dengan bateri 1000mAh boleh dicas semula yang berkuasa dan tahan lama serta port USB untuk pengecasan mudah di dalam kereta bagi memastikan ketersediaan pada setiap masa. Bagi syarikat konsesi lebuh raya, kami kini menawarkan antena sisi lorong baharu pada kos subsidi untuk menaik taraf prestasi lorong SmartTAG bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar.


Pada suku pertama tahun 2022, kami akan bergerak ke arah pendigitalan dengan mendayakan sambungan Bluetooth antara peranti dan telefon pintar serta sistem media kereta kami. Sambungan ke e-dompet untuk tambah nilai mudah juga boleh dilakukan,” tambah Blasch.

Sumber : gohedgostan

Post a Comment

0 Comments