Ticker

6/recent/ticker-posts

Bos Mydin dedah harga makanan kering akan naik 10-15 peratus tidak lama lagi

 


Harga makanan kering dan pakaian dijangka naik pada tahun ini berbanding barang-barang basah yang dilihat akan stabil.


Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin bagaimanapun berkata, beliau tidak merasakan barangan basah akan naik pada tahun ini berbanding tahun lalu.


“Barang basah ini ada rantaian bekalan (contohnya jika berlaku) banjir. Semua ini menyebabkan barang naik harga,” katanya kepada Sinar Ahad.


Beliau memberitahu, bagi harga barang makanan kering seperti biskut, sardin dan Milo pada tahun ini, ia dijangkakan naik lapan sehingga 10 peratus.


“Kita telah diberitahu oleh ramai pengilang bahawa barang akan naik sebab tertentu (seperti) harga bahan mentah dan kos logistik telah naik,” jelas beliau.



Bagi pakaian seperti baju, Ameer Ali berkata, beliau menjangkakan ia akan naik 10 hingga 15 peratus kerana sebelum ini penjual menjual barang-barang sedia ada.


“Dengan kemasukan barang baharu, baru (harganya) akan naik. Baju sekolah dan kasut sekolah pun sudah naik harga,” tambahnya.


Menurutnya, kenaikan barang makanan kering dan pakaian ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan dan tidak boleh berbuat apa-apa.


“Kita ini (terlibat dengan) perdagangan antarabangsa. Jangan kita salahkan kerajaan. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Apa yang penting adalah kerajaan membantu,” ujarnya.


Untuk menangani perkara seperti ini, beliau turut memberikan beberapa panduan kepada orang ramai, antaranya seperti membuat pilihan dalam membeli barang.



“Kita ada pilihan. Daripada kita beli barang yang mahal sikit, kita cari barang yang murah. Contohnya, biasa kita beli baju jenama A yang mahal, sekarang kena beli jenama B yang tidak berjenama.


“Kita kena pandai, bijak cari barang yang kita mampu. Kerana anda tidak ada pilihan. Barang itu akan naik, gaji anda tidak naik. Kalau gaji anda naik pun, ia tiga hingga lima peratus tetapi barang naik 10 peratus,” kata beliau lagi.


Beliau berkata, orang ramai juga disaran untuk kurang membeli-belah, contohnya jika sebelum ini membeli dua helai baju, sekarang hanya perlu membeli sehelai baju.


“Saya rasa ini yang kita kena buat, malah kena kerja kuat supaya kita boleh dapat gaji lebih,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments