Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya terpaksa pakai cermin gelap kerana masalah kulit, kata pemandu wanita

 


"Ini (cermin gelap) kerana doktor cakap saya ada masalah kulit." Itu alasan diberikan seorang wanita ketika ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Syed Abdul Aziz, 10.20 malam tadi.


Kesalahan itu dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Sempena Tahun Baru Cina 2022 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.


Wanita berusia 40-an itu yang memandu kereta mewah turut mendakwa, dia tidak tahu perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu serta mempunyai surat doktor untuk menggunakan cermin gelap pada kenderaan itu.



Susulan itu, wanita terbabit diberikan notis 14 hari untuk hadir ke pejabat JPJ negeri bagi tindakan lanjut.


Sementara itu, Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, operasi membabitkan 40 anggota dan pegawai dijalanlan selama empat jam dan berakhir pada 12 tengah malam.


Beliau berkata, 750 kenderaan diperiksa dan 224 kesalahan dikesan.


"Daripada jumlah kenderaan diperiksa, sebanyak 170 kenderaan diambil tindakan dengan 176 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


"Insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh adalah kesalahan terbanyak direkodkan dengan 114 kesalahan manakala tiada lesen memandu dengan 47 kesalahan serta cermin gelap 45 kesalahan," katanya.



Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sepanjang Tahun Baru Cina ini juga pihaknya turut membuat penguatkuasaan di depoh bas ekspres, Teminal Melaka Sentral serta penyamaran anggota di dalam bas ekspres.


"JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga turut memeriksa 126 pemandu bas dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan tiada sebarang kes membabitkan dibawah pengaruh daadah dikesan," katanya.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments