Ticker

6/recent/ticker-posts

Tidak betul pembalakan punca harimau berkeliaran di Gua Musang, kata Mohd Amar

 


Kerajaan negeri Kelantan menafikan aktiviti pembalakan menjadi faktor harimau belang masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang sejak kebelakangan ini.


Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedatangan harimau ke kampung di sekitar Pos Bihai, Gua Musang bukan disebabkan pembalakan.


"Tohmahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini wujud kes lain dan harimau itu juga dikatakan muncul di kawasan bukan pembalakan. Sebab baru (ada) satu kes, kalau kes banyak mungkin betul (punca pembalakan).



"Hendak siasat dan cari sebab itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan dengan mengatakan (harimau) keluar disebabkan pembalakan. Itu tidak betul," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.


Mohd Amar berkata, penyiasatan dan kajian boleh dilakukan untuk mengetahui punca kehadiran harimau itu.


"Langkah-langkah penangkapan juga sedang dilakukan agensi yang terbabit bagi memastikan keadaan kembali terkawal. Agensi itu juga memaklumkan kepada kami, harimau berkenaan sudah tua dan tidak mampu mengejar binatang lain.


"Disebabkan itu, haiwan terbabit akan mencari inisiatif makanan yang lebih mudah tanpa berbuuru. Kita juga tunggu maklumat terkini daripada agensi yang terbabit," katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan Orang Asli dari Gua Musang yang menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri untuk kerajaan mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada serangan binatang buas.


Mereka berpendapat, pelbagai kejadian boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.


Pada masa sama, ketika ditanya mengenai spesis binatang berkenaan yang semakin pupus, Mohd Amar berkata, undang-undang sudah ada dan setakat ini tiada pembuuruan haram berlaku dan keselamatan habitat asal harimau juga tidak terjejas.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments