Ticker

6/recent/ticker-posts

JKM sudah luluskan bantuan RM500 sebulan kepada ibu Diwiyana bermula bulan depan

 


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas terlantar, Selamah Hamid, 73, bermula bulan depan.


Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bantuan itu akan diberikan kepada anaknya, Diwiyana Mohammed, 37, bagi pihak wanita warga emas berkenaan.


"JKM sudah memproses permohonan berkenaan dan diluluskan bantuan pesaklt terlantar sebanyak RM500 sebulan bermula Mac depan.


"Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang menjaga Selamah yang terlantar tidak dapat bergerak serta memerlukan lampin pakai buang dan susu," katanya pada sidang media selepas melawat keluarga berkenaan di Parit 1A, Sungai Manik, di sini, hari ini.


Dr Wan Norashikin berkata, pihaknya melalui pegawai JKM dengan dibantu Jabatan Pembangunan Wanita bersedia memberi kaunseling kepada Diwiyana yang berdepan tekanan menjaga ibu sakit dan mencari rezeki untuk keluarga.



"Kita juga akan memberi Diwiyana kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) yang mudah alih untuk membantu dia berniaga," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Norashikin berkata, semakan mendapati warga emas berkenaan adalah penerima bantuan bulanan JKM Wilayah Persekutuan bermula 2017 hingga April 2020.


Katanya, selepas berpindah ke Sungai Manik, Teluk Intan, permohonan baharu kepada JKM Perak dibuat pada Januari 2021 dan permohonan kedua pada 28 Januari lalu.


Bagaimanapun katanya, sebelum ini permohonan pertama tidak dapat diproses kerana semakan sistem e-bantuan mendapati warga emas itu masih menjadi klien JKM Wilayah Persekutuan, namun bantuan ditamatkan.


"Kita tidak boleh proses kerana dalam sistem e-bantuan dia adalah penerima negeri lain dan mungkin keadaan ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya. Begitu juga dia berpindah negeri bantuan akan ditamatkan, begitu juga kalau (bertukar) daerah dan perlu memohon semula.


"Justeru setiap perpindahan terutama seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka memerlukan teruslah maklum dan kita boleh terus sambung (bantuan) walaupun perlu mohon semula.



"Selain itu diharap perpindahan seperti ini akan diperhalusi dan sistem lebih baik supaya tiada lagi berlaku perkara seperti ini," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, Pejabat MAIPK Daerah Hilir Perak menerima permohonan bantuan bulanan daripada suami Diwiyana pada 3 Februari tahun ini.


Menurutnya, permohonan berkenaan sudah diproses dan sebagai tindakan awalan bantuan segera sudah disampaikan serta-merta oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada wanita itu sebanyak RM300 hari ini.


"Selanjutnya bantuan bulanan serta bantuan perubatan kepada ibu Diwiyana yang sakit terlantar akan diberikan selepas diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Hilir Perak," katanya.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments