Ticker

6/recent/ticker-posts

Tiada Lelaki Berani Cuba Dekati, Nabila Razali Akui Sesekali Rasa Sunyi

 


Andai bertemu jodoh, penyanyi Nabila Razali, 30, tidak akan menyembunyikan berita gembira daripada pengetahuan umum, suatu hari nanti.


Penyanyi lagu Aku TerIuka itu berkata, perkara baik seharusnya dikongsikan bersama. Justeru, dia sendiri akan melayangkan undangan secara peribadi kepada insan yang banyak menyokong kerjaya seninya.


"Saya mahu berterus-terang sahaja kerana perkahwinan adalah perkara baik. Bagi saya, benda baik harus dikongsikan kerana tidak sama dengan undangan acara makan-makan.


"Saya juga mahukan ahli keluarga, rakan dan peminat mendoakan yang baik-baik untuk saya, jadi berita gembira kenalah beritahu.



"Lagipun, saya mahu hari bersejarah dalam hidup dikelilingi oleh insan yang sering menyokong kerjaya dari awal pembabitan sehingga hari ini," katanya kepada BH Online.


Bagaimanapun, wanita kelahiran Petaling Jaya itu berkata, itu bukanlah bermakna sudah bersedia untuk ke jenjang pelamin dalam waktu terdekat.


Sebaliknya, katanya, dia masih belum menemui 'putera idaman'. Bukan memilih, tetapi sejak putus cinta lebih enam tahun lalu ketika masih menuntut di universiti, tiada mana-mana jejaka yang cuba mendekati.


"Memang tiada lelaki istimewa dalam hidup saya, buat masa ini. Jujurnya, saya terbuka berkawan dengan sesiapa sahaja.


"Sebelum ini, saya ada juga berkawan, tetapi hubungan tidak seperti pasangan bercinta sampai keluar 'dating' dan sebagainya.



"Mungkin cinta saya terhadap kerja lebih utama, jadi tidak sempat fikir soal jodoh. Banyak lagi impian belum tercapai, jadi saya mahu kejar impian sebelum memikirkan soal berumahtangga.


"Tetapi, seandainya jodoh sudah tiba, saya akan terima dan akan tetap mengejar impian yang masih belum tercapai," katanya.


Ditanya adakah tidak berasa sunyi, Nabila berkata, sesekali pernah terdetik apabila melihat rakan seperjuangan seperti Wany Hasrita yang bergelar isteri, manakala Ernie Zakri yang kini memiliki cahaya mata.


"Kadang-kadang bila tidak buat apa-apa ada juga terasa, tetapi bila sibuk dengan kerja terus jadi lupa," kata penyanyi yang popular menerusi lagi Peluang Kedua dan Permata Hati itu.


Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments