Ticker

6/recent/ticker-posts

Pertuduhan kes Bella musnahkan seluruh hidup saya, kata Siti Bainun

 


Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa dia telah diganggu, diancam dan kehilangan pendapatan sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.


Siti Bainun, 31, yang membacakan pernyataan saksi tanpa peguam belanya semalam berkata, tindakan Zurianty (Zurianty Sudin) yang menyebarkan video Bella telah menjejaskan dan merosakkan hidupnya.

"Saya telah dikecam dan diuguut bunh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini hampir setiap masa.


"Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.


"Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan.


"Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini," katanya pada prosiding bela diri itu.


Disebabkan ugutan itu katanya, dia takut untuk keluar rumah dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.


"Saya dapatkan rawatan di hospital pun ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya," katanya.


Katanya, dia juga curiga dengan niat Zurianty yang juga rakannya itu merakam dan menyebarkan video itu kerana dia tidak pernah mengambil berat tentang Bella.



"Dia tidak pernah datang atau ambil tahu pun tentang Bella. Dia tidak pernah jaga, mandikan, suap dan tidak pernah bermain pun dengan Bella.


"Sebab itu, saya hairan bila tiba-tiba Zurianty muncul di rumah saya pada 24 Jun 2021 semasa saya memang terang-terang tidak ada di rumah.


"Jadi, apabila saya dapat makluman dialah yang merakam video Bella dan saya dengar di mahkamah dia juga yang sebarkan kepada pihak lain, saya terkejut," katanya.


Siti Bainun berkata, jika Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, wanita itu tidak perlu bertindak membabitkan ramai pihak dengan menggunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan perhatian masyarakat.


"Membantu Mona Din, membangkitkan kemarahan netizen untuk membenci saya sedangkan Zurianty tahu kesannya. Saya akan dihina dan dicemuh seluruh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenarannya," katanya.


Siti Bainun turut mempertikaikan, mengapa pegawai penyiasat tidak melihat atau mendengar video yang dirakamkan saksi pendakwaan pertama, Zurianty.


"Kedua-dua pegawai penyiasat sendiri tidak mendengar pun dengan betul video yang dirakamkan Zurianty.


"Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka," katanya.



Sebelum ini, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun pada Ogos tahun lalu, Zurianty mengakui dia merakam video Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju untuk diberikan kepada seorang individu yang dikenali sebagai Syed Azmi.


Zurianty juga berkata, tujuannya mengambil video itu adalah untuk meyakinkan individu tersebut mengenai penderaan yang dilakukan terhadap Bella.


Sebelumnya, Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan bahawa prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella perlu diteruskan kerana tidak mahu lagi kes itu ditangguhkan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.


Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun untuk membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.


Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika dituduh bersalah mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber : Harian Metro


Post a Comment

0 Comments