Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya temui 'cinta sejati' selepas lima kali berkahwin, kata Natasha Hudson

 


Natasha Hudson, seorang pelakon berdarah Melayu-Australia berusia 41 tahun pernah mengharapkan agar perkahwinannya yang kelima tidak dijadikan sensasi.


Namun, selepas mengikat tali perkahwinan dengan Muhammad Harits Jasmin pada tahun lalu, pelakon filem Chermin ini tidak segan untuk berkongsi kisah kebahagiaan dan ketenangan yang dialaminya bersama pasangannya.


"Alhamdulillah, setakat ini, semuanya baik-baik sahaja. Saya dan suami sangat sibuk dengan perniagaan 'surfing'.


"Dua bulan lalu, kami berada di Cherating, Pahang. Ini kerana jika cuaca monsun di Langkawi, Kedah, kami akan ke Cherating.


Saya juga mengambil bahagian dalam festival aktiviti luncur, jadi kami baru sahaja menyelesaikan acara itu.


"Ramadan ini, kami akan pulang kembali ke Langkawi. Saya selalu berulang alik ke Kuala Lumpur, sebab sudah pasti saya balik beberapa kali, setiap bulan.




"Maknanya, saya tidak putus meninggalkan kerjaya seni. Jika ada kerja, saya tetap akan balik ke Kuala Lumpur, malah saya juga berulang alik bertemu anak-anak. Jadi, memang saya banyak mengembara ke sana-sini," katanya kepada BH Online.


Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson berkata, dia suka tinggal di Langkawi dalam suasana sangat aman.


"Apabila memandu di Kuala Lumpur, saya susah nak terima keadaan sesak di sini. Langkawi tempat kebahagiaan, di mana saya membina banyak benda seperti perniagaan memanah.


"Jadi, Langkawi, bak kata orang 'healing' buat saya. Masa muda dahulu fikir mengapa orang tua suka berhijrah pulang ke kampung, macam itulah yang saya rasakan sekarang.


"Malah, suami sukar nak terima keadaan sesak di ibu kota, memandangkan sudah menetap selama 10 tahun di Langkawi. Suami sememangnya tidak boleh menerima kehidupan di bandar, walaupun keluarga menetap di Bangi, Selangor.


"Bila pulang ke Bangi, suami duduk rumah sahaja, tak mahu keluar," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen, Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.


Mengulas adakah kehidupannya sekarang jauh lebih baik, Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-20 itu berkata, dia sudah menemui teman sejiwa dan pasangan yang boleh memahaminya dalam banyak cara.


"Kami boleh bercakap sebagai sahabat.


"Perkara paling penting mengenai cinta adalah pasangan. Saya datang dari keluarga sederhana, suami juga sama.


"Bagi saya, apa yang paling penting penerimaan keluarga. Alhamdulillah, saya bersyukur dan meminta jodoh ini dipanjangkan. Siapa yang nak berkahwin untuk bercerai," katanya.


Apakah ada keinginan untuk menimang cahaya mata menerusi perkahwinan kelima ini, Natasha berkata, sudah tentu mereka mengimpikan beroleh cahaya mata.


"Kami ada berbincang dan selalu usik suami, tetapi kami tidak merancang.


"Kami tidak mahu pada awal perkahwinan sebab fokus kepada kestabilan keluarga, maknanya sumber pendapatan kena stabil dahulu.


"Jadi, saya beritahu suami, mungkin pada tahun kedua. Tetapi, tidak boleh terlalu lambat sebab usia semakin bertambah.


"Macam suami, dia tak kisah. Jika tiada pun, tidak mengapa. Namun, jika ada sudah tentu kami bersyukur.


"Tapi, sekarang kami sudah ada tiga anak 'ekspres', sudah tentu suami gembira dengan anak-anak. Saya tahu siapa yang tak mahu zuriat sendiri, insya-Allah," katanya


Mengulas perjalanan kerjaya seninya, Natasha berkata, dia hanya menjayakan satu projek dalam tempoh setahun.




"Seperti tahun lalu, saya menjayakan projek bersama Red Communications, iaitu telefilem berkonsepkan muzikal.


"Mungkin akan keluar di platform perstriman seperti Disney Hotstar, Netflix dan sebagainya. Tetapi, judulnya saya sudah lupa. Tahun ini, belum ada tawaran, tetapi tak kena dengan masa, baru dapat buat.


"Saya mementingkan kerja yang berkualiti dan memberikan ketenangan, suasana persekitaran perlu baik.


"Tidaklah mengatakan saya memilih, tetapi saya perlu tahu skrip bagus, pengarah, produksi dan sebagainya. Sebab sudah tentu kita mahu kerja dalam persekitaran sihat. Tak mahu nanti ada masalah terjadi," katanya.


Terdahulu, Natasha mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Harits Jasmin pada 28 Mac tahun lalu dalam majlis secara sederhana di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Menerusi perkahwinan terdahulu, Natasha dikurniakan tiga puteri, Neesa Helen, Naeema Kalila dan Faatimah.


Sumber :BH Online

Post a Comment

0 Comments